‘Dah habis idah, doakan dipermudahkan segala urusan saya’

TERJAWAB teka-teki apabila pelakon Rebecca Nur Al Islam mengesahkan dirinya sudah selesai menjalani tempoh idah.

Rebecca, 39, bagaimanapun tidak menyatakan secara terperinci mengenai tarikh perceraian.

Dia juga bakal menunaikan umrah dengan status baharunya sebagai ibu tunggal.

“Assalammualaikum semua. Doakan saya, saya dalam penerbangan nak ke Rumah Nabi Muhammad SAW.

“Cuma apa yang boleh saya cakap, ya saya dah habis idah,” katanya dalam hantaran InstaStory.

Pada masa sama, pelakon filem Embun itu berharap orang ramai dapat mendoakan agar urusannya dilancarkan.

“Doakan saya selamat dan dipermudahkan Allah SWT dalam semua urusan saya.

“Teruskan doa untuk saya. Semoga Allah SWT sentiasa membalas segala kebaikan doa yang anda kirimkan, amin,” ujarnya.

Selain itu, dia turut memohon maaf kerana tidak sempat membalas mesej daripada orang ramai yang mengambil berat tentang dirinya.

“Saya minta maaf kepada lebih dari 1,000 pengirim WhatsApp dan ramai yang DM (mesej langsung) yang tak dapat saya balas.

“Terima kasih mengambil berat tentang saya, insya-Allah saya okey,” jelasnya.

Berdasarkan pemerhatian, Rebecca kini sudah tiba di Tanah Suci kira-kira awal pagi tadi.

Pada 28 Ogos lalu, Rebecca mengejutkan ramai apabila membuat hantaran dalam media sosial memberi bayangan rumah tangga dibina bersama peguam, Datuk Nur Azman Sulaiman sudah menemui noktah.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 14 Januari 2011.

Mereka dikurniakan enam cahaya mata dan membesarkan anak angkat, Nor Adam Daniel yang berusia 16 tahun. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok