‘Bukan semua pelakon boleh mengarah, kena banyak belajar’

MENAMBAH portfolio dalam portfolio seninya, pelakon Syafiq Kyle mengakui penubuhan syarikat produksi sendiri, Indigo Films sejak lima tahun lalu membuka lebih banyak ruang untuknya berkarya.

Rumah produksi yang direalisasikan bersama rakan kongsi tersebut kini menjadi gelanggang penerbitan produk komersial buat syarikat lain serta menghasilkan naskhah siaran platform digital atau televisyen dan layar perak.

Selangkah ke depan, pelakon filem Blood Brothers: Bara Naga itu bagaimanapun mengakui, selama ini dia lebih selesa menjadi penerbit berbanding duduk di kerusi pengarah.

Syafiq atau nama sebenarnya, Mohd. Syafiq Shamim Abd. Razak, 33, berkata, dia hanya sedia menggalas tanggungjawab besar tersebut pada 2026 kerana persediaan rapi serta beri komitmen masa bagi memastikan hasil sentuhan menepati piawaian.

“Bukan semua pelakon boleh mengarah walaupun sudah bertahun-tahun mengukuhkan nama, termasuk diri saya.

Untuk menjadi sutradara kita kena banyak buat persediaan, ambil tahu dan belajar pelbagai tugasan belakang tabir, kutip pengalaman selain jangan segan bertanya.

“Ikutkan tahun depan barulah saya akan mengarah buat pertama kali iaitu sebuah telefilem. Perincian lain akan saya kongsikan sebaik projek itu bermula,” katanya ketika ditemui selepas promosi produk Nivea Luminous Skin Glow Serum, baru-baru ini.

BERGELAR suami isteri sejak Februari, Syafiq dan Mimi Lana kini bergerak seiring adakala bergabung dalam sesebuah kempen atau acara. – FARIZ RUSADIO

Rezeki kahwin

Menurut penerima Anugerah FPA Asia Pacific Rising Star di Festival Filem Asia Pasifik (APFF) ke-62 itu, syarikat produksi dimiliki bersama rakan kongsi sebelum ini pernah menerbitkan iklan, video korporat, filem pendek selain drama.

“Indigo sudah beberapa tahun aktif. Kami juga banyak terbabit dengan projek korporat serta menghasilkan penerbitan drama sendiri Doh yang bersiaran sekitar 2021.

Kami juga sudah bikin filem pendek yang berjudul Laut Tak Biru Di Seberang Takut. Ada beberapa projek penerbitan lain menyusul tahun depan.

“Sebenarnya banyak lagi projek dalam senarai, cuma tunggu masa untuk dimulakan,” ujarnya.

Pada masa sama Syafiq teruja apabila perjalanan karier seninya bergerak atas trek dengan satu persatu tawaran termasuk sebagai duta serta ikon produk diraih sejak kebelakangan ini.

“Syukur ini semua rezeki. Saya anggap ini juga rezeki selepas berkahwin dan kepercayaan jenama terkemuka seperti Nivea yang melantik saya sebagai ikon produk ini,” katanya yang hadir bersama isteri, Mimi Lana dalam acara di Sunway Pyramid, baru-baru ini.

Selalu dilihat bersama dalam banyak kempen, pasangan itu bagaimanapun menafikan ada meletakkan sebarang syarat agar hadir ‘berpakej’ untuk keterlibatan mereka dalam sebarang projek. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok