Usanita, UTV terokai dunia penstriman

DITUBUHKAN sejak lima tahun lalu sebagai entiti keusahawanan dan memperkasakan wanita, Usanita Sdn. Bhd. melangkah ke arena penyiaran dengan melancarkan platform penstriman digital eksklusif (OTT) dinamakan UTV.

Sebelum ini, pihak terbabit menerusi cabangnya, Usanita Entertainment menerbitkan drama bersiri untuk siaran TikTok, Aku Cinta Dia arahan Erma Fatima yang menggandingkan Fattah Amin dan Sophia Albarakbah.

Selepas kejayaan naskhah yang mengambil latar Oxford, England itu, selain melihat permintaan semasa, Usanita merealisasikan penubuhan UTV yang menawarkan banyak pilihan kandungan kreatif.

Bukan hanya menyajikan program drama dan hiburan, platform ini turut membuka peluang kepada penggiat kreatif tempatan untuk melangkah ke pentas lebih luas dengan memberi ruang untuk penerbit tempatan berkarya.

Presiden UTV merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Group, Datuk Adzliana Hasan berkata, UTV direalisasikan daripada inspirasi dan pengalaman bekerjasama dengan industri seni tempatan dan stesen televisyen antarabangsa.

Perkembangan era semasa terutama dalam arena penyiaran membuatkan orang ramai ternanti-nantikan bahan serta konten yang mudah diakses di mana sahaja.

“Kami lahirkan UTV sebagai platform yang menyiarkan karya selain membuka ruang kepada idea baharu untuk direalisasikan.

Saya percaya ramai penulis skrip, penerbit dan penulis kandungan di luar sana menyimpan jalan cerita yang hebat dan UTV bersama tagline ‘Stream For You’ hadir membuka pintu itu,” katanya selepas pelancaran UTV di Zepp Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Adzliana berkata, buat masa ini operasi menggunakan model ‘Pay Per Content’ yang memberi kebebasan kepada penonton memilih kandungan diingini tanpa perlu melanggan keseluruhan pakej.

“Pendekatan begini beri nilai eksklusif kepada setiap karya dan memudahkan pengguna menyesuaikan pilihan mengikut minat.

Buka ruang ‘pitching’

Kongsinya, perbezaan saluran OTT terbabit berbanding platform lain adalah kesediaan pihaknya membuka ruang ‘pitching’ kepada semua.

“Tidak kira sama ada anda sebuah syarikat produksi besar, penerbit indie mahupun penulis skrip baharu, UTV sedia mendengar paparan bahan serta idea anda.

“Kita sering dengar keluhan penulis kandungan muda yang sukar mencari ruang menayangkan idea mereka kerana tiada platform untuk direalisasikan.

“Di UTV, kami mahu ubah keadaan itu. Hantar idea anda, Jika mempunyai elemen yang kuat, kami sedia menilai, membimbing dan membawa karya itu ke skrin UTV,” katanya.

UTV tampil dengan lima segmen program hiburan utama yang bakal memenuhi pelbagai cita rasa penonton iaitu UTV Original, UTV Music, UTV Podcast, UTV Talkshow dan UTV Smart.

Berdasarkan senarai tayangan, antara drama bersiri serta telefilem disajikan dalam segmen UTV Original adalah Saling Tak Terlihat, Langit Tanpa Bintang dan Diari Air Mata.

Antara barisan pelakon, termasuk Nora Danish, Sherry Alhadad, Sophia Albarakbah, Fattah Amin serta Bell Ngasri.



Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok