Penat, terfikir tak adakah jalan lain lebih cepat? – Nora

Nora Arffin penat, terfikir cara cepat selesai kes perceraian

PENYANYI Nora Ariffin mengakui penat lima kali naik turun mahkamah bagi menjalani prosiding perceraian dengan suaminya, Dr. Rushdi Ramli.

Bagaimanapun, Nora atau nama sebenarnya Wan Norafizah Wan Ariffin, 52, akur dengan prosedur undang-undang meski terikat dengan jadual padat membabitkan kerjaya seni.

“Penat tapi faham ini prosedur mahkamah. Dekat dalam tadi terfikir tak adakah jalan lain yang lebih cepat (bercerai)?

“Sudah semestinya ada banyak hukum undang-undang, (jadi) kena ikut apa pun yang terbaik.

“Saya pun sekarang sibuk bekerja, sama juga macam Rusdi,” katanya kepada HibGlam ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, hari ini.

Mengulas mengenai sikap segelintir pihak yang mula meluahkan rasa bosan dengan kesnya, penyanyi lagu Naluri itu mengakui sedih apabila menerima tuduhan tidak berasas daripada netizen.

“Bosan itu sebab orang tak faham prosedur mahkamah. Kadang-kadang sedih juga orang tuduh berapa bayar wartawan datang.

“Tiada sampai nak (bertindak) begitu. Apa-apa pun memang kena hormat keputusan mahkamah,” jelasnya.

Sementara itu, wakil peguam syarie kepada Rusdi Azmi Mohd Rais memaklumkan Mahkamah Rendah Syariah Petaling menetapkan 30 September depan sebagai tarikh laporan wakil hakam.

“Hari ini, kedua-dua pihak melantik wakil hakam pertama iaitu Rusdi melantik anak sulungnya iaitu Dr. Shakir.

“Nora pula lantik anak pertamanya. Kedua-dua hakam akan berjumpa buat laporan kes seterusnya pada 30 September depan pada pukul 9.30 pagi.

“Kini dah sampai peringkat hakam keluarga dan kalau diteruskan selepas ini akan ke hakam mahkamah pula,” ujarnya.

Sebelum ini, kemelut rumah tangga Nora dan Rushdi difahamkan menjadi topik hangat dalam laman sembang sekali gus menarik perhatian ramai sejak 12 Ogos tahun lalu.

Susulan itu, hantaran Instagram Nora memaparkan video Rushdi melafazkan cerai terhadapnya sehingga mengejutkan pelbagai pihak.

Nora sebelum itu mengesahkan sudah bergelar isteri kepada Rushdi yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh dan Usul di sebuah universiti tempatan pada akhir 2021. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok