SUSULAN suasana tegang Indonesia, pelakon Anna Jobling membatalkan penerbangangannya ke negara itu bagi menghadiri majlis tayangan filem Sukma.
Menurut Anna atau nama lengkapnya Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman Jobling, 25, keadaan di sana kurang selamat untuk dikunjungi.
“Sebenarnya esok (hari ini) saya sepatutnya terbang ke Indonesia untuk majlis tayangan perdana filem Sukma tapi ditunda sebab tengok laporan berita kurang selamat jika mahu ke sana.
“Malah untuk kita buat majlis tayangan di sana dalam keadaan sebegitu, saya rasa sangat tak sesuai.
“Jadi kami putuskan untuk tunda,” katanya kepada HibGlam ketika ditemui di majlis tayangan drama Setia Itu Mahal episod ke-27 di Kelab Darul Ehsan, Ampang Jaya, semalam.
Berkongsi lanjut, peserta Dewi Remaja 2018/2019 itu mengharapkan keadaan Indonesia yang dianggap sebagai rumah kedua kembali aman.
“Semoga Indonesia cepat sembuh. Doa saya sentiasa bersama rakyat Indonesia.
‘Jakarta adalah rumah kedua saya, jadi bila tengok keadaan sebegitu, saya sangat sedih.
“Saya ke sana hampir setiap bulan. Kali terakhir saya ke sana, sebelum situasi tegang ini berlaku,” ujarnya lagi.
Selain itu, Anna turut meluahkan rasa bangga dengan usaha rakyat Malaysia menghulurkan bantuan kepada masyarakat Indonesia yang dalam kesusahan.
“Saya sangat berbangga dan terharu bila melihat ramai yang menolong dan berkongsi rasa kasih sayang dengan rakyat di sana.
“Kita kadang-kadang ada bergaduh manja dengan rakyat Indonesia menerusi beberapa perkara tapi dalam keadaan genting ini kita lupakan soal itu.
“Ramai rakyat Malaysia menghulurkan bantuan dan meluahkan simpati. Bukan kita saja tapi rakyat di Thailand dan Singapura juga.
“Bila perkara sebegini terjadi kita boleh nampak semangat menyokong antara satu sama lain,” katanya lagi.
Sebelum ini, rakyat Indonesia bangkit menyerang Dewan perwakilan Rakyat (DPR) apabila Presiden, Prabowo Subianto mengumumkan kesemua 580 ahli Parlimen menerima elaun hampir 10 kali ganda gaji minimum di Jakarta.
Protes semakin mengganas berikutan insiden seorang pemandu teksi motosikal, Affan Kurniawan dilanggar kenderaan taktikal polis.
Susulan itu, Probowo membatalkan beberapa keistimewaan ahli DPR sebagai usaha untuk meredakan kemarahan rakyat dan protes yang meragut enam nyawa. – HIBGLAM