MENGADAKAN persembahan pada festival muzik Pestapora di Jakarta Indonesia pada Ahad depan, Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza berharap kemelut di negara seberang akan segera reda.
Siti atau nama penuhnya Siti Nurhaliza Tarudin, 46, mengakui teruja untuk membuat persembahan di Indonesia apatah lagi sudah lama dinantikan peminatnya di sana.
“Sebenarnya saya ada persembahan untuk Pestapora pada 7 September iaitu Ahad ini. Setakat ini saya masih melihat perkembangan dari semasa ke semasa situasi di sana.
“Saya memang berdoa supaya keadaan kembali reda dalam waktu terdekat ni supaya boleh ke sana membuat persembahan sebab memang sangat merindui peminat-peminat di Indonesia,” katanya ditemui pada sidang media pengumuman hos, barisan penyampai dan penghibur Anugerah Industri Muzik 24 (AIM 24) hari ini.
Tambahnya, penganjur di sana sering menjemputnya untuk membuat persembahan sebelum ini, namun dia tidak mempunyai kelapangan waktu.
“Sebelum ini mereka pun sering jemput saya, tapi tiada kelapangan.
Jadi, bila sudah ada kelapangan, perkara ini berlaku. Harap semua akan reda dengan cepat dan kita boleh teruskan Pestapora,” ujarnya yang akan mengadakan persembahan pada hari terakhir acara tersebut.
Antara nama besar yang turut memeriahkan festival muzik tersebut ialah Sheila On 7, Yura Yunita, Raisa, Bernadya dan Nadin Amizah.
Dalam masa sama, Siti turut menzahirkan rasa sedih dengan situasi yang melanda Indonesia ketika ini.
“Dengan apa yang berlaku, saya sebagai anak seni yang diterima baik oleh masyarakat Indonesia turut terkesan dan bersimpati.
Malaysia dengan Indonesia ini sudah seperti adik-beradik. Kalau cubit paha kiri, paha kanan pun terasa juga.
“Apa yang kita boleh bantu ialah dengan memberi sokongan moral dan kata-kata semangat,” tuturnya.
Terdahulu, pada 28 Ogos lalu, seorang pemandu ojek iaitu Affan Kurniawan maut digilis kenderaan taktikal ‘Barracuda’ milik polis Indonesia ketika berlakunya demonstrasi penduduk di Bendungan Hilir, Jakarta.
Difahamkan, ketika kejadian Affan yang baru sahaja berusia 21 tahun sedang dalam perjalanan menghantar makanan kepada pelanggannya.
Susulan kejadian itu, Presiden Prabowo Subianto tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada keluarga Affan dan mengesahkan tujuh anggotanya yang berada di dalam kenderaan taktikal tersebut telah ditahan.
Sebagai tanda solidariti, netizen Malaysia menghulurkan bantuan makanan dengan membuat tempahan kepada pemandu ojek dalam talian (ojol) di Indonesia. – HIBGLAM