‘Jaga Susanti baik-baik’ – Pesanan netizen Indonesia buat Upin Ipin

TURUT berduka, karakter animasi popular Malaysia, Upin dan Ipin menitipkan doa buat seluruh warga Indonesia agar terus kuat mengharungi kemelut yang melanda negara itu.

Kedua-dua ‘kanak-kanak’ yang terkenal di seberang itu berharap Indonesia kembali pulih seperti sedia kala, selain rakyatnya dilindungi daripada sebarang kesulitan.

“Semoga teman-teman di Indonesia selamat dan aman. Mari kita doakan agar Indonesia segera pulih,” tulis hantaran dalam akaun Instagram upinipinofficial.

Pada perkongsian tersebut jelas kelihatan foto kembar terbabit berada dalam kesedihan di sisi teman sekolah mereka dari seberang iaitu Susanti.

Foto itu turut dikongsikan bersama ucapan ‘Semoga Indonesia Segera Pulih’ dengan tanda pagar #UpinIpinDoaBuatIndonesia dan #IndonesiaSegeraPulih selain logo Les’ Copaque selaku rumah produksi Upin & Ipin.

Watak Ehsan yang juga merupakan teman Upin dan Ipin turut memberikan doa melalui ruangan komen di hantaran tersebut.

Keprihatinan karakter kesayangan Indonesia itu membuatkan ramai netizen terutama dari seberang menzahirkan terima kasih kepada mereka serta syarikat Les’ Copaque.

“Didoakan selamat, netizen Indonesia titipkan Susanti ke Upin dan Ipin. Ramai minta Susanti tetap di Malaysia dan tunggu situasi di Indonesia kembali kondusif,” kata peminat

Tolong bagi tahu Susanti jangan pulang dulu ke Indonesia. Jaga Susanti baik-baik ya,” ujar pengikut lain.

Terdahulu, gelombang demonstrasi berlaku di pelbagai wilayah di Indonesia bermula dengan protes terhadap kenaikan elaun harian, perumahan dan gaji ahli Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) yang dihangatkan video anggota dewan itu menari, sekali gus dianggap tidak peka terhadap situasi rakyat.

Protes semakin panas selepas rakaman video menunjukkan seorang penunggang e-hailing, Affan Kurniawan dilanggar dan digilis kenderaan taktikal polis semasa demonstrasi menuntut gaji lebih adil itu.

Di ibu negara, ratusan penunjuk perasaan berkumpul di hadapan ibu pejabat pasukan elit Brimob, yang dipersalahkan atas kematian mangsa dan kemudian gelombang protes merebak ke bandar lain sejak beberapa hari lalu.

Sebelum ini ramai selebriti tempatan mengirimkan doa selain membantu saudara serumpun di sana yang berdepan kesukaran dengan bersedekah menerusi tempahan makanan untuk diagihkan.

Antaranya termasuk pelakon Puteri Sarah Liana, Catriona Rose serta Tiz Zaqyah. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok