PELAKON Tiz Zaqyah menyelar sorang individu mempertikai usaha segelintir pihak memberi sedekah makanan kepada ‘rider’ di Indonesia susulan kemelut yang melanda negara tersebut ketika ini.
Menurut Tiz atau nama penuhnya Siti Zaqyah Abdul Razak, 36, pemberian makanan atau sedekah tersebut adalah satu perkara normal dilakukan dalam kehidupan seharian sebelum ini yang tidak perlu dipertikaikan oleh mana-mana pihak.
“Sedekah itu tiap kali pesan makanan dibuat. Awak tak pernah buat ke?
Lagi satu sedeka Subuh, ada kongsi banyak kali. Tak pernah buat ke? Tabung masjid? Mak cik jual keropok dekat depan bank? Zakat, bayar tak?
“Wakaf quran? Sedekah untuk bantuan kucing? Ada tak? Tak akan tak lalu TikTok,” katanya dalam platform Threads.
Katanya, sikap yang mempersoal perkara murni seperti memberi sedekah itu dianggap tidak sepatutnya berlaku.
Nak bising fasal orang sedekah makanan, keji betul.
“Jom sedekahkan al-Fatihah,” ujarnya.

TANGKAP layar Tizz menegur sikap individu yang mengkritik tindakan orang ramai membeli makanan dalam platform e-hailing Indonesia dan mengagihkannya kepada penghantar makanan negara itu.
Terdahulu, seorang individu memuat naik hantaran dalam Threads mempersoal tindakan rakyat Malaysia yang membeli makanan dalam platform e-hailing Indonesia secara online sebelum mengagihkannya kepada ‘rider’ di negara tersebut.
Bagaimanapun, selepas dihujani respons negatif dan teguran ramai, individu terbabit memadam hantaran tersebut.
Sejak kelmarin, rakyat Malaysia rancak membuat pesanan dalam aplikasi penghantaran makanan di Indonesia sebelum disedekahkan kepada rakyatnya termasuk kepada pemandu penghantaran itu sendiri.
Inisiatif tersebut bagi membantu meringankan beban penghantar makanan susulan pendapatan mereka terjejas akibat demonstrasi yang berlaku di Indonesia ketika ini.
Antara selebriti Malaysia yang turut memberi sedekah ialah Puteri Sarah Liyana dan Catriona Ross.
Tindakan murni tersebut bukan sahaja dilakukan rakyat Malaysia tetapi juga negara Asia lain termasuk Singapura, Thailand, Vietnam dan Filipina. – HIBGLAM