PELAKON Nur Fazura meluahkan rasa terkilan apabila teman rapat yang selama ini dianggap seperti adik-beradik memilih untuk menjauh saat hidupnya berdepan dugaan sejak sembilan bulan lalu.
Ujar Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin, 42, pengalaman pahit tersebut membuka matanya tentang hakikat persahabatan, sekali gus membuatkan dirinya lebih berhati-hati dalam memilih kawan.
“Sejujurnya saya seorang kawan yang sentiasa menyokong. Kalau kawan saya dianiaya atau disakiti, saya akan jadi orang pertama mempertahankan mereka. Saya sanggup lakukan apa saja demi kawan.
Tapi bila saya berada pada titik terendah, mereka hilang. Orang yang saya anggap seperti adik sendiri pun tidak bertanya khabar. Mesej ringkas pun tidak ada,” katanya menerusi satu sesi siaran langsung dalam TikTok.
Meskipun hati seperti disiat-siat, pelakon drama Hero Seorang Cinderella itu memilih untuk melihat kejadian tersebut dari sudut positif.
“Sepatutnya mereka inilah yang sentiasa ada untuk saya, tapi semuanya lari.
Banyak juga berlaku pengkhianatan. Sudah tentu sebagai manusia biasa, ada rasa sedih dan kecewa.
“Tetapi saya percaya semua ini doa-doa saya yang dimakbulkan Allah. Mungkin mereka bukanlah yang terbaik untuk saya,” luahnya.
Tambah ibu satu anak itu, pengalaman ditempuh membuatkan dirinya lebih selesa dikelilingi kelompok kecil yang benar-benar ikhlas dan setia berada di sisi.
Sekarang, saya dikelilingi kawan-kawan serta staf yang baik. Mereka sanggup bersama saya susah dan senang. Alhamdulillah, walaupun circle saya kecil, tetapi lebih berkualiti.
“Saya bukanlah manusia sempurna. Saya pun ada kelemahan. Sebab itu saya berdoa agar Allah lindungi daripada individu yang berniat tidak baik, berhawa nafsu syaitan, penuh hasad dengki atau tidak ikhlas. Bila ada yang menjauh, saya anggap itu doa saya dimakbulkan,” ujarnya.
Meskipun tidak menyebut nama mana-mana pihak, netizen sudah mula membuat telahan malah ada yang menyenaraikan individu yang pernah rapat dengan aktres terbabit namun kini tidak lagi kelihatan keluar bersama. – HIBGLAM