MESKIPUN baru minggu kedua dalam program realiti, Talk To My Manager (TTM), penyanyi Athalia mengakui berdepan tekanan emosi sepanjang pembabitannya dalam pertandingan tersebut.
Athalia atau nama lengkapnya Athalia Deena Buswani, 22, sentiasa berusaha memperbaiki persembahannya dari minggu ke minggu.
“Bukan saya nak merayu simpati atau apa pun. Saya tahu saya tak layak untuk menyanyi atas pentas pertandingan.
“Benda itu pun dah diberitahu oleh ibu saya (Sharifah Zarina) sendiri dalam program siaran langsung.
“Tapi saya cuba untuk memperbaiki kekuatan persembahan saya sekurang-kurangnya dari minggu pertama dan masih tak menerima pujian walaupun sedikit,” katanya dalam Threads.
Selain itu, Athalia berkongsi tekanan diterima memberi kesan kepada keadaan mentalnya selain menyifatkan dunia hiburan tidak adil khususnya buat bakat baharu.
“Bukan sahaja membuatkan saya mempersoalkan nilai diri saya tetapi juga menyeksa saya secara mental.
“Industri ini memang tidak pernah adil,” jelasnya.
Sebelum ini, persembahan Athalia pada minggu kedua program TTMM menerusi lagu Langit Ketujuh menerima pelbagai reaksi termasuk mengatakan suaranya tidak layak untuk memasuki program nyanyian. -KOSMO! ONLINE