PENYANYI Shiha Zikir meluahkan kekecewaan terhadap sikap segelintir artis muda yang sepertinya memperlekehkan lenggok Melayu terutama dalam menyampaikan lagu tradisional.
Bagi Shiha atau nama sebenarnya Nurshiha Mohd. Zikir, 38, tindakan tersebut bukan sahaja merendahkan nilai muzik tradisional, malah boleh disalah anggap sebagai bentuk ejekan.
“Saya hargai apabila penyanyi baharu berlumba-lumba nak tunjuk kehebatan tapi bila dia buat berlebihan kepada lagu tradisional, sampaikan lenggok yang melampau serta buat reaksi muka seakan-akan geli, itu mengejek.
“Perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku sebab lagu tradisional sepatutnya dijaga. Janganlah rendahkan karya tradisional. Perkara itu buat saya sedih.
“Saya harap dengan hantaran yang dibuat dapat sedarkan mereka selain jangan lagi ulangi perkara sama,” katanya kepada HibGlam pada Grand Launching SFJ Group Sdn. Bhd, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, pelantun lagu Irama itu bersyukur dia bukan jenis artis lantang mengkritik secara terbuka, sebaliknya lebih selesa menegur secara bersemuka.
“Saya bersyukur mulut saya tak ‘laser’. Banyak pengalaman saya lalui dengan budak-budak baharu tetapi beberapa sahaja yang berperangai begini.
“Kalau berkesempatan nak jumpa depan-depan, baru saya tegur sebab tidak mahu jatuhkan air muka dia,” tuturnya.
Sebelum ini, Shiha memuat naik hantaran dalam Threads berhubung ketidakpuasan hati terhadap penyanyi muda yang menyampaikan lenggok tradisional namun kelihatan seolah-olah mengejek. – HIBGLAM