Taman tema Magika KRU buka tahun depan

ANAK syarikat KRU Corp, Kruniverse Sdn. Bhd. memeterai kerjasama dengan Unity Trust Bhd. bagi merealisasikan projek hospitaliti dan gaya hidup bernilai RM50 juta di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang.

Sebagai cabang baharu, Kruniverse berada di posisi tepat untuk mengembangkan perniagaan dengan memanfaatkan harta intelek KRU, teknologi berasaskan kecerdasan buatan (Al) serta status jenama besar.

Projek itu membabitkan pembangunan, pengurusan atau peningkatan perkhidmatan dalam industri hospitaliti merangkumi sektor hotel dan pusat peranginan, restoran, rekreasi serta khidmat pelanggan.

Ketua Pegawai Eksekutif KRU Corp, Datuk Norman Abd. Halim berkata, kolaborasi dengan Unity Trust Bhd. yang bakal dibangunkan di Shah Alam dan Klang adalah sebahagian visi jangka panjang Kruniverse untuk menjadi peneraju industri pelancongan berteraskan hiburan dan teknologi serantau.

“Lokasi ini dipilih bagi menarik pelancong domestik dan antarabangsa, sekali gus memberi impak positif kepada komuniti lokal juga menandakan pencapaian perjalanan kami dalam mengembangkan lagi operasi di bawah standard tadbir urus tertinggi.

“Matlamat kami bukan sahaja meningkatkan pengalaman pengunjung, bahkan membina eko-sistem mampan yang memperkasakan perniagaan dan komuniti tempatan.

“Projek berimpak tinggi yang akan dilancarkan November ini disasarkan menjadi pemacu pertumbuhan sektor pelancongan dan gaya hidup serantau, selaras visi jangka panjang Kruniverse sebagai peneraju industri berteraskan hiburan dan teknologi,” katanya ketika sesi menandatangani perjanjian (Mou), baru-baru ini.

Norman turut menyifatkan kerjasama bijak itu sebagai pencapaian penting yang dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan jitu syarikat.

Taman Tema Magika

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Unity Trust Berhad, Syed Sadiq Obaidi Albar Syed Hamid berkata, pihaknya komited memastikan projek ini dilaksanakan secara profesional dan telus.

“Kerjasama ini antara lain menyokong objektif Kruniverse untuk berkembang daripada sebuah perniagaan milik keluarga kepada sebuah organisasi bertaraf global.

“Setiap perincian berkaitan projek ini berasaskan data selain ditadbir secara profesional selaras dengan amalan terbaik untuk penyenaraian awam pada masa hadapan,” ujarnya.

Pada masa sama, Norman memaklumkan pihaknya kini dalam fasa pembinaan taman tema berkonsepkan filem muzikal fantasi popular, Magika yang dijangka beroperasi pertengahan 2026.

Katanya, idea tersebut direalisasikan atas permintaan terhadap sekuel naskhah membabitkan mitos legenda yang mempunyai pengikut tegar sejak ditayangkan 15 tahun lalu.

“Ramai mahukan Magika 2 dihasilkan tetapi kami perlukan tapak platform untuk promosi. Kalau setakat media sosial sahaja tak cukup, kita perlukan lokasi fizikal seperti taman tema Magika ini,” katanya.

Berkonsepkan ‘edutainment’ atau didik hibur, taman tema itu diyakini mampu memenuhi selera pengunjung. Magika garapan Edry Abd. Halim yang diterbitkan pada 2010 menghimpunkan pelbagai watak ikonik legenda dan dongeng Melayu.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok