MENJADI ibu kepada empat cahaya mata secara ‘fast track’ bukan mudah tetapi itu yang dilalui isteri pelawak, Shuib iaitu Watie Hanifiah.
Menjalani hari-harinya sebagai suri rumah yang mungkin bagi sesetengah orang membosankan, namun bagi Watie tidak sama sekali.
Setiap hari dijalani dengan cabaran dan cerita berbeza, malah bersyukur dengan semua yang dimilikinya hari ini termasuk empat anak tirinya, Uwais Alqarni, Dzahira Thalita Zahra, Ariq Matin dan Ayash Affan.
“Saya tetap bersyukur dengan apa yang saya ada sekarang terutama sekali suami dan anak-anak walaupun ramai bercakap macam-macam tentang status ibu tiri.
“Kalau orang kata saya ibu tiri yang baik, sebenarnya saya pun sama sahaja seperti ibu-ibu lain.
“Ada masanya saya jadi cikgu, ‘singa’, doktor dan kadang-kadang ‘ejen FBI’ untuk anak-anak,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Tambah Watie yang juga seorang usahawan, peranan seorang ibu pada zaman sekarang sangat mencabar apatah lagi melayan empat anak yang semakin membesar.
Sama seperti wanita lain, dia tegas dalam mendidik, namun nilai kasih sayang sentiasa menjadi keutamaannya.
“Kalau nak cakap saya ibu tiri yang penuh dengan kesabaran, tidak juga. Ada masanya hilang sabar juga dengan anak-anak sebab saya juga manusia biasa.
“Kadang-kadang ada ibu bapa yang terlalu manjakan anak, hingga anak sukar dikawal. Jadi, saya pilih untuk beri kasih sayang.
“Jika ada masa saya perlu marah atau tegur, saya akan lakukan. Tetapi setiap hari saya pastikan kasih sayang itu tetap ada melalui pelukan dan ciuman,” ujarnya.
Tuturnya, kasih sayang yang diberikan antara sebab utama kehadirannya diterima baik anak-anak tirinya sehingga hari ini.
“Bagi saya, kasih sayang itulah yang membuatkan anak-anak menerima dan melayan saya seperti ibu kandung walaupun tiada pertalian darah.
“Masuk dalam keluarga ini, saya belajar satu perkara, kasih sayang itu memang ada setiap hari. Setiap pagi, mereka akan berpelukan dahulu.
“Walaupun selepas itu mungkin bergaduh atau dimarahi, tetapi bila waktu malam, semua akan bersalaman, mencium tangan dan mengucapkan ‘I love you’.
“Walaupun semalam kena marah, sebelum tidur mereka tidak akan biarkan berlalu tanpa salam atau ucapan kasih sayang.
“Saya rasa itulah yang membuatkan keluarga kami sentiasa dalam keadaan baik,” kongsinya lagi.
Sokongan suami
Pemilik nama penuh Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah itu juga bersyukur dikurniakan suami yang sangat memahami dan memberi kebebasan kepadanya mendidik anak-anak.
Shuib juga disifatkan sebagai bapa yang tidak memihak kepada anak sekiranya mereka melakukan sebarang kesalahan.
“Sebenarnya sekarang lebih mudah mendidik mereka berbanding ketika masih kecil, ditambah pula mereka cepat matang.
“Sangat beruntung kerana memiliki suami yang memahami. Kalau saya sudah tegur, Shuib tidak akan membantah.
“Dia sebaliknya menyokong. Itu yang membuatkan peraturan saya lebih mudah dipatuhi anak-anak,” ujarnya lagi.
Watie turut menegaskan dia enggan menjadi ibu tiri yang suka mengadu perihal anak-anak kepada suami.
“Sebagai suri rumah, memang kita lebih banyak masa dengan ana-anak dan tahu setiap perkara yang berlaku dari pagi hingga malam.
“Suami sentiasa mendengar cerita saya tetapi kalau boleh tidak mahu anak-anak berasa seolah-olah saya suka mengadu.
“Kalau kita ada ibu tiri, pasti tidak selesa kalau dia asyik mengadu. Itu yang paling saya elak dan tidak akan buat pada anak-anak,” tuturnya lagi.