Perunding kewangan, duda anak 2 cinta baharu Nora Danish?

DESAS-DESUS pelakon Nora Danish kini sedang dilamun cinta kian hangat diperkatakan netizen apabila peminat mula mengorek latar belakang dan status lelaki yang dikenali sebagai Mickey Ayo itu.

Mickey dikatakan bekerja sebagai seorang perunding kewangan berjaya dan berstatus duda serta memiliki dua orang cahaya mata.

“Saya datang dari masa depan. Hadir kerana N (Nora Danish). Kalau memang betul, memang gembira saya sebagai peminat beliau,” demikian antara komen peminat yang mula membanjiri Instagram lelaki terbabit.

Spekulasi mula tercetus apabila Nora atau sebenarnya, Nora Mohd. Danish Hanif, 43, memuat naik foto lelaki berkopiah yang hanya menampak bahagian atas wajah di Instagram miliknya baru-baru ini.

Nora ketika dihubungi Kosmo! Online bagaimanapun memaklumkan, apa yang dikongsikannya dalam media sosial masih terlalu awal untuk digembar-gemburkan buat masa sekarang.

“Terima kasih mendoakan. Tapi, masih jauh lagi perjalanan ini. Tiada maksud apa-apa pun gambar itu,” katanya ringkas menerusi WhatsApp.

Berdasarkan pemerhatian, foto lelaki berkopiah yang dikongsikan Nora seakan-akan sama dengan hantaran yang dimuat naik lelaki berkenaan di akaun Instagram miliknya.

Menguatkan spekulasi itu, Nora dilihat kerap meninggalkan tanda suka pada hantaran lelaki tersebut, sekali gus menguatkan andaian peminat mereka lebih daripada kenalan biasa.

Untuk rekod, Nora pernah mendirikan rumah tangga bersama Nedim Nazri pada 30 Mac 2017, namun bercerai 19 Jun 2024.

Hasil perkahwinan, mereka mempunyai seorang cahaya mata bersama iaitu  Mohamed Neqayl, 7.

Sebelum itu pelakon yang cukup dikenali menerusi sitkom Puteri itu juga pernah berkahwin dengan Jejai pada 20 Jun 2006 dan berpisah pada 10 Julai 2008.

Mereka dikurniakan seorang anak, Putra Rayqal, 17 tahun. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok