Semoga genggaman ini sampai ke syurga Allah – Zizi Kirana

SEMOGA genggaman ini sampai ke syurga Allah.”

Demikian ucapan romantis penyanyi Zizi Kirana buat suaminya, Yusuf Bahrin selepas berangkat mengikuti misi bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Dalam hantaran tersebut, Zizi atau nama lengkapnya Nur Fazelah Mad Tahil, 40, memuat naik foto menggenggam erat tangan suaminya sekali gus meleraikan spekulasi pergolakan rumah tangga mereka.

Perkongsian tersebut turut mendapat sokongan dan doa orang ramai.

Masha-Allah, Tabarakallah. Semoga kekal bahagia dunia dan akhirat,” kata peminat.

“Ya Allah, jagalah dua hati ini sampai ke syurgaMu,” tutur pengikut.

“Berkatilah perkahwinan Zizi dan Yusuf hingga ke syurga,” ujar peminat lain.

TANGKAP layar foto Zizi dan Yusuf saling berpegangan tangan menjadi bukti ikatan cinta mereka masih utuh.

Pada masa sama, perkongsian semula Instastory Zizi, kelihatan Yusuf hadir menghantarnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Mereka juga dilihat bersalaman dan berpelukan sebelum Zizi berangkat ke Gaza.

Sebelum ini, rumah tangga pasangan itu dikatakan bermasalah apabila Zizi dilihat kurang memuat naik foto bersama suami.

Kali terakhir Zizi memuat naik gambar Yusuf adalah pada 8 Jun lalu sempena sambutan hari lahir belahan jiwanya itu.

Lebih menimbulkan tanda tanya, hantaran pelantun lagu Eh itu dalam aplikasi Threads baru-baru ini sarat dengan kata-kata berbaur luahan hati dan penuh makna tersirat.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 19 September 2021 selepas berkenalan ketika rakaman program hiburan, All Together Now Malaysia. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok