PELAKON Andy Teh menegaskan usahanya mendalami budaya Melayu bukan sandiwara dek kebulur perhatian, sebaliknya lahir daripada keinginan memperkukuh kredibiliti sebagai pelakon versatil.
Ujar Andy atau nama sebenarnya Andy Teh Kim Hua, 39, dunia lakonan menuntut pemahaman mendalam tentang budaya masyarakat, apatah lagi industri filem tempatan banyak berteraskan naskhah beridentitikan Melayu dan Islam.
“Saya tak rasa ‘try hard’ untuk dapatkan perhatian orang Melayu sebab kalau saya nak berjaya dalam perfileman atau drama Melayu, saya kena faham budaya mereka.
Malaysia ini dikenali dengan masyarakat yang berbilang agama, jadi kalau saya dapat watak berkaitan agama Islam, saya kena tahu dan belajar.
“Kalau ada orang nampak saya belajar mengaji dan sebagainya bukan kerana saya nak menunjuk tapi nak buktikan saya boleh bawa watak tu,” katanya kepada HibGlam.
Bintang filem Blood Brothers itu mengakui peminat sering keliru dengan status sebenar dirinya apabila melihat kefasihannya bertutur bahasa Melayu.
“Ada yang keliru, tanya saya ini Melayu atau Cina. Hakikatnya saya berbangsa Cina. Dalam keluarga pun tiada kaitan dengan Islam.
Tetapi sejak berada dalam industri perfileman Melayu, saya berkawan rapat dengan ramai orang Melayu termasuk rakan artis,” jelasnya.
Paling penting kata Andy, popularitinya turut membawa sisi lain apabila dia sering dihujani mesej peribadi daripada peminat wanita dalam Instagram yang memberinya gelaran pelik.
Banyak mesej saya terima, ada yang panggil imam, ada juga gelar saya Daddy Mike.
“Saya sendiri pun tak faham kenapa muncul panggilan itu. Mungkin sebab ketika promosi filem Abah Saya Uncle Mike, perkataan abah disamakan dengan ayah atau daddy. Dari situlah lahir gelaran Daddy Mike,” kongsinya.
Untuk rekod, Andy membintangi filem Abah Saya Uncle Mike yang diinspirasikan daripada kisah benar bersama Idan Aedan, Nor Merah serta Umar Syakur dan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula hari ini. – HIBGLAM