PELAKON Aedy Ashraf berpendapat lelaki perlu mengubah stigma bahawa rutin penjagaan wajah tidak khusus untuk wanita sahaja.
Aedy atau nama penuhnya Mohammad Addy Ashraf Rosmadi, 31, berkata, pemikiran tersebut perlu diubah kerana lelaki zaman sekarang juga harus menjaga penampilan terutama kulit wajah.
“Sebenarnya tiada istilah feminin atau sebagainya dalam soal menjaga kulit sebab saya rasa pemikiran generasi dahulu dan sekarang berbeza, sudah ada perubahan.
Saya percaya generasi sekarang mementingkan kebersihan dan penjagaan kulit wajah termasuk lelaki.
“Bagaimana mereka jaga kulit juga mengikut cara masing-masing, setiap orang ada cara berbeza. Untuk saya, jaga kulit sangat penting sekarang,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran produk penjagaan kulit jenama CeraVe, hari ini.
Berkongsi lanjut, Aedy berkata, dia mula menyedari kepentingan menggunakan produk penjagaan wajah selepas kulitnya bermasalah pada usia belasan tahun.
Aedy bagaimanapun mengakui tidak memerlukan bajet yang besar bagi memulihkan kulit wajahnya iaitu kurang RM200 sebulan.
“Pada usia 16 dan 17 tahun, saya alami fasa ‘breakout’ paling teruk, ketika itu memang buntu nak mencari solusi.
Namun sekarang jumpa solusi dan cara saya jaga kulit sangat mudah iaitu pencuci muka serta pelembab kulit.
“Kalau orang lain mungkin banyak jenis dan berlapis-lapis produk mereka gunakan, untuk saya mudah dan sangat ringkas,” jelasnya. – HIBGLAM