‘Abah enggan susahkan anak, usia 82 tahun masih memandu sendiri’

KASIH tidak bertepi, penyanyi Anuar Zain mengagumi sikap dan keperibadian bapanya, Allahyarham Zin@Zain Abdullah yang sentiasa mendahulukan keperluan isteri dan anak-anak melebihi diri sendiri.

Anuar atau nama lengkapnya Shahrul Anuar Zain, 55, berkata, insan dihormatinya itu sanggup berkorban apa sahaja demi memastikan keselesaan seisi keluarga meski berpendapatan sederhana.

Saya dan adik-beradik lain sejak kecil tidak pernah rasa susah. Abah (bapa) sentiasa mendahulukan keluarga. Walaupun dari keluarga sederhana, abah tetap pastikan kami ada duit sekolah, makan dan pakaian yang cukup.

“Dulu kalau hari raya, abah dengan mak memang tak beli baju baharu untuk mereka tetapi pakaian anak-anak sentiasa berganti. Waktu itu kami kecil lagi, jadi tak perasan sangat situasi sukar.

“Dalam keadaan susah macam mana pun, abah tak pernah mengeluh atau bersuara. Saya sangat hargai segala penat lelah dan kesusahan yang dilaluinya demi keselesaan keluarga,” katanya ketika ditemui HibGlam.

Menurut anak kedua daripada lima bersaudara itu, dia dan adik-beradik lain hanya mengetahui mengenai kesusahan dilalui arwah selepas masing-masing dewasa.

“Bayangkan, membesarkan lima anak dengan penuh keikhlasan dengan hanya bergantung kepada gaji bulanan yang diperoleh menerusi kerja hakiki.

Sebab itu baru saya tahu kadang-kadang abah menyanyi dan menulis pantun untuk menambah pendapatan, semata-mata mahu cari duit lebih untuk anak-anak.

“Kerana mahu mendahulukan anak-anak juga dia sanggup berkorban tidak bersalin baju asalkan anak-anak cukup segala keperluan,” ujarnya.

Kongsi Anuar lagi, Allahyarham merupakan individu yang berdikari, walaupun usia mencecah 80-an tetap melakukan sendiri urusan harian kerana enggan menyusahkan anak-anak.

“Abah seorang yang berdikari, sehingga usia 82 tahun dia masih ke pasar dengan memandu sendiri untuk ambil ubat. Dia kata tak mahu susahkan kami walhal tiadalah susah pun.

Sampai ke akhir hayat, abah masih risaukan kami, takut menyusahkan kerana perlu menjaganya sejak kurang sihat akibat masalah jantung beberapa tahun lalu.

“Itu yang buatkan saya sebak mengenangkan semangat dan kasih sayang abah. Ketika sakit pun tetap dahulukan kesejahteraan anak-anak,” katanya.

Menyentuh sikap arwah yang mesra disapa Pak Zain, menurut pelantun lagu Sesucinya Cintamu itu bapanya insan yang tegas dan garang dalam mendidik anak-anak.

“Abah garang tapi kami sedar selepas dewasa sebenarnya sikap begitu mendidik kami untuk jadi manusia kental yang berjaya.

Begitupun, di sebalik sikap garang dia bapa yang penyayang selain selalu menasihatkan kami mengenai banyak perkara sama ada dalam kerjaya mahupun kehidupan.

“Walaupun ketika berdepan masalah kesihatan, dia tetap bertanya khabar, tetap ambil tahu tentang kehidupan anak-anak,” ujarnya.

Tambah Anuar, arwah turut disenangi ramai kerana sikap rendah diri serta baik dengan orang sekeliling termasuk indiidu tidak dikenali.

“Ramai orang suka abah. Dia disenangi rakan-rakan artis, kenalan lama dan sesiapa sahaja yang ada di sekelilingnya.

Abah tidak pernah mengajar kami menilai atau menghukum orang lain. Dia selalu pesan, jangan kacau orang, jangan buat orang susah.

“Hidup kita, kita urus. Hidup orang, biar mereka urus. Rumah kami sentiasa menerima tetamu, pelbagai ragam manusia dan abah tetap melayan semua dengan baik,” tambahnya.

Adik kepada penyanyi Ziana Zain itu turut menjunjung pesanan bapanya tentang kepentingan keikhlasan dalam sebarang tindakan mahupun pekerjaan.

“Pesanan abah paling kami ingat adalah sentiasa ikhlas. Baik dengan diri, dengan orang mahupun dalam apa sahaja yang kita lakukan. Dia juga selalu ingatkan jangan kedekut.

Kalau orang susah, bantu setakat termampu. Abah percaya manusia yang baik adalah manusia yang memberi, bukan mengambil. Dia juga selalu bercakap tentang sedekah dan amal jariah,” katanya.

Tambah Anuar, masih segar diingatan momen syahdu air mata bapanya gugur ketika melihatnya menjayakan konsert sulung sekitar 2013.

“Saya masih ingat, ketika konsert sulung abah datang. Abah kata dia tak mahu lihat anaknya kerja, hidup susah.

Abah lihat kepayahan anak-anak untuk jadi penyanyi, itu yang buatkan dia menangis. Jadi, saya kata pada abah doakan saja saya terus kuat melangkah,” ulasnya.

Allahyarham yang menghembuskan nafas terakhir akibat kanser prostat pada usia 87 tahun di kediaman keluarganya di Shah Alam, petang semalam meninggalkan isteri, Robiah Abdul serta lima anak dan 13 cucu.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Elmina pukul 7 malam hari sama. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok