‘Tak ambil bayaran, saya ikhlaskan ilmu, niat sedekah’

MENJADI guru kegemaran ramai penggiat seni, hakikatnya aktres Ellie Suriaty mencurahkan ilmu serta pengalaman hampir tiga dekad dalam industri hiburan secara ikhlas tanpa mengenakan sebarang bayaran.

Ellie atau nama lengkapnya Ellie Suriaty Omar, 55, berkata, perkara itu sudah diniatkan sebagai sedekah jariah sejak meraih kepercayaan rakan seperjuangan serta barisan pelakon muda yang datang menemuinya untuk mendalami ilmu lakonan.

“Ramai datang mahu belajar dengan saya tetapi saya tak ambil bayaran. Memang dari dulu begini, saya ikhlaskan ilmu dan pengalaman yang saya miliki selain jadikan ilmu sebagai sedekah.

Macam rasa tak seronok kalau saya kenakan caj. Ilmu ini saya nak kongsikan untuk semua. Jika produser yang panggil, saya ambil bayaran kerana ada kontrak dan bajet.

“Saya pun penerbit, jadi saya tahu bagaimana proses itu. Tak kisahlah nak hantar kepada saya 20 orang pun, caj tetap sama tapi kalau aktor yang datang, tak kira berapa kali, saya tak ambil bayaran,” katanya ketika ditemui pada tayangan filem ParaXnormal baru-baru ini.

Kongsi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia (FMM) ke-16 itu, ada juga pelakon berkeras ingin berikan bayaran, namun dia enggan terima sebaliknya hanya berharap ilmu dikongsikan dapat dipanjangkan selain mampu bawa manfaat kepada semua.

Tiga perkara yang saya mahu bawa mati antaranya adalah ilmu bermanfaat yang saya tinggalkan untuk yang masih hidup. Dulu Maya Karin pernah kejar saya nak bagi bayaran ketika dia terbabit dalam filem Munafik 2.

“Dia dapat skrip terus datang jumpa saya dan apabila selesai penggambaran, dia ke pejabat untuk bagi duit. Dia kejar saya dan berlari, tapi saya tetap tak nak, saya tak boleh ambil walau dipaksa.

“Sebab sedekah itu lagi besar kerana ilmu itu dia boleh kongsikan pula dengan pelakon lain kalau orang itu nanti tak sempat berguru dengan saya,” ujarnya.

Antara pelakon yang pernah mendapatkan bimbingannya ialah Datuk Remy Ishak, Maya Karin, Mira Filzah, Kamal Adli, Siti Khadijah dan Izara Aishah.

Mira Filzah belajar dengan saya sejak saya ‘coach’ dia menerusi filem arahan Osman Ali, Munajat Kekasih. Remy Ishak pula sebelum jadi Datuk, Kamal Adli, Siti Khadijah pun pernah sebab kontrak latihan untuk filem Munajat Kekasih.

“Izara Aishah saya bimbing selepas buat kemunculan semula menerusi Keluarga Itu. Insya-Allah jika saya ada masa bolehlah saya mengajar.

Tapi macam sekarang masa tidak mengizinkan, saya minta maaf awal kalau tak boleh walaupun rasa tak seronok kalau saya tak dapat bantu. Apa pun saya cuba ikhtiarkan waktu,” katanya.

Mengenai filem ParaXnormal katanya, gabungan bersama ramai pelawak dalam kisah seram komedi itu menyuntik keistimewaan tersendiri serta pengalaman menarik.

Memang ‘pecah’ set beraksi dengan Kamarool Yusoff, Joey Daud, Azhan Rani dan Epy Kodiang malah pelakon muda yang kerap membintangi filem aksi, Amir Nafis juga ‘memberi’,” katanya.

Diterbitkan Nanord Studio Production, filem yang menggabungkan unsur seram, psikologi, komedi gelap dan konflik persahabatan itu ditayangkan bermula 28 Ogos ini. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok