PELAKON Anzalna meluahkan rasa syukur apabila sering terjaga pada waktu malam bagi menunaikan solat tahajud walaupun tanpa bantuan jam loceng.
Menganggap perkara tersebut bukan satu kebetulan, Anzalna atau nama penuhnya Nur Anzalna Md Nasir, 37, merasakan Allah mahu mendekatkan dirinya dengan ibadah.
Saya jauh daripada sempurna. Namun entah bagaimana, Allah tetap kejutkan saya untuk solat tahajud tanpa bantuan jam loceng dan itu bukanlah satu kebetulan.
“Itu adalah Allah yang kejutkan saya, mengundang saya untuk berbicara dengan-Nya.
Hati saya sarat dengan rasa syukur. Saya sedar bahawa semua itu kerana Dia mahu bertemu dengan hamba-Nya,” kata Anzalna dalam Threads.
Pada masa sama, finalis Dewi Remaja 2009/2010 itu menganggap peluang tersebut merupakan tanda Allah ingin bertemu dengan hambaNya.
Walaupun penuh kekurangan, Dia tetap menjemput saya ke hadirat-Nya pada saat paling sunyi di tengah malam.
“Sungguh besar rahmat-Nya, sungguh agung kasih sayang-Nya, Dia Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang,” tuturnya.
Sebelum ini, Anzalna terkenal dengan sikap pemurah apabila berkongsi rezeki dengan golongan memerlukan.
Perkara tersebut disedari seiring peningkatan usia yang melorongkan hatinya untuk semakin mendekatkan diri kepada Allah.
Anzalna juga pernah menyumbangkan barangan bayi dan keperluan harian kepada keluarga seorang penghantar makanan yang bekerja sambil menggendong anak. – HIBGLAM