PELAKON Datin Seri Paduka Eina Azman tampil menyuarakan rasa kecewa terhadap segelintir netizen yang sering memberikan komen negatif terhadap rupa paras suaminya, Datuk Seri Paduka Kaiser Gurmeet.
Menurut Eina atau nama sebenarnya, Ainur Syakina Azman, 30, kebahagiaan rumah tangga tidak pernah bergantung pada ketampanan semata-mata, sebaliknya terletak pada sikap bertanggungjawab seorang lelaki terhadap keluarga.
“Kalau kacak tetapi malas bekerja, apa gunanya? Kalau kacak harap muka sahaja tetapi isteri terpaksa berhempas pulas siang dan malam, buat apa?
Kalau kacak tetapi suka main perempuan, tak ada maknanya. Lebih baik rupa sederhana tetapi mampu beri rezeki dan jaga maruah keluarga.
“Muka tidak seberapa pun kadangkala tidak sedar diri, apatah lagi yang betul-betul kacak. Bagi saya, kalau suami nampak elok di mata kita, itu sudah memadai,” katanya dalam TikTok.
Tambah pelakon The Maid 2 itu, dia tidak memerlukan pengiktirafan orang luar untuk menilai siapa suaminya malah menegaskan kasih sayang dan kesetiaan lebih penting daripada pandangan mata kasar.
Yang kata suami saya tidak tampan, nampak seperti bangla, tapi adakah kamu itu cukup kacak atau cantik untuk menghina?
“Saya geram apabila baca komen begitu. Bila saya tunjuk pada suami, dia hanya ketawa.
“Tetapi sebagai isteri, saya tetap terasa hati. Dia tidak pernah kacau hidup orang, jadi mengapa ada yang sibuk menghina?,” luahnya.
Untuk rekod, Eina mendirikan rumah tangga dengan Kaiser pada 31 Ogos 2014.
Pasangan tersebut dikurniakan sepasang cahaya mata kembar, Aubrey dan Karl, yang kini berusia sembilan tahun. – HIBGLAM