FILEM Gayong yang dibintangi Beto Kusyari dan Nabila Huda bakal ditayangkan semula di pawagam tanah air bersempena sambutan Hari Merdeka dan Hari Malaysia bermula 28 Ogos hingga 17 September depan.
Menurut Penerbit Eksekutif, Khairul Anuar Latip, inisiatif ini dilakukan bagi menyemarakkan sambutan kedua-dua hari bersejarah berkenaan dengan menayangkan semula sebuah filem yang membangkitkan semangat perpaduan dan jati diri.
“Ketika ditayangkan sebelum ini, Gayong mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada penonton. Namun tidak dinafikan masih ramai yang terlepas untuk menontonnya. Dan kini kami membuka semula peluang kepada mereka yang mahu menonton di pawagam.
“Lagipun kami merasakan filem ini sesuai untuk ditayangkan semula sempena sambutan Hari Merdeka dan Hari Malaysia memandangkan intipati utama filem ini berkisar kepada seorang insan yang dikenali memperjuangkan maruah bangsa, agama dan tanah air daripada kerakusan penjajah,” katanya.
Tambah Khairul lagi, untuk tayangan semula, penonton bakal menonton versi yang lebih menarik dan istimewa dengan dengan beberapa pembaharuan iaitu kombinasi ‘director’s cut’ dan pengkritik filem.
Selain itu kami juga membuat penambahan yang cukup eksklusif klip-klip babak dalam dalam filem Gayong 2 yang dijangka akan ditayangkan pada tahun hadapan.
“Filem ini akan ditayangkan di pawagam TGV Cinemas di seluruh Malaysia dengan harga yang sangat berpatutan iaitu serendah RM10 sahaja,” kongsinya.
Pada masa yang sama, Khairul menyeru kepada pihak badan kerajaan, institusi pendidikan, pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), malah kepada semua rakyat Malaysia melangkaui fahaman politik untuk beramai-ramai menonton Gayong kerana filem berkenaan menyuntik semangat perpaduan dan memartabatkan maruah bangsa, agama dan negara.
Gayong merupakan sebuah filem arahan Faisal Ishak yang diinspirasikan daripada kisah Pengasas Silat Gayong, Mahaguru Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman (ADMAR).
Sudah ditayangkan pada 5 Mei lalu, filem terbitan SOL Pictures Sdn. Bhd. dan edaran Empire Film Solition itu turut dibintangi oleh Syafie Naswip dan pelakon terkenal dari Indonesia, Yayan Ruhian. – HIBGLAM