BAPA kepada penyanyi Ziana dan Anuar Zain, Zain @ Zin Abdullah menghembuskan nafas terakhir pada usia 87 tahun pukul 3.32 petang tadi.
Berita duka itu disahkan sumber terdekat keluarga penyanyi terbabit yang memaklumkan Allahyarham meninggal dunia di kediamannya di Kayangan Heights, Shah Alam.
Laman sosial rasmi syarikat milik Anuar iaitu Anuar Zain Network turut berkongsi khabar duka itu.
Begitupun, punca kematian pesara polis berkenaan tidak diperincikan dengan lebih lanjut.
Difahamkan jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Elmina sebelum Maghrib, hari ini.
Zin atau lebih dikenali sebagai Pak Zain merupakan individu penting disebalik kerjaya seni Ziana dan Anuar yang menjadi antara penyanyi popular tanah air.
Ketika zaman muda, Allahyarham pernah menyertai kugiran muzik pasukan beruniform.
Usaha HibGlam menghubungi keluarga arwah bagi mendapatkan maklumat lanjut belum menerima sebarang maklum balas. – HIBGLAM