BUKAN mudah mengekalkan niat asal berkecimpung dalam dunia muzik sementelah lingkaran kehidupan menyimpan bermacam dugaan yang berpotensi melencong seseorang pelaku daripada tujuan sebenar.
Buat penyanyi antarabangsa, Harris J atau nama sebenarnya, Alharith Jung, 28, antara amalan yang membuatkan matlamatnya menghasilkan muzik terus terpelihara adalah sentiasa ingat bahawa dunia ini hanya pinjaman Allah SWT.
Anak kelahiran London, United Kingdom itu mahu sentiasa mengingatkan diri agar jangan pernah meninggalkan suruhan agama terutamanya solat.
“Alhamdulillah, saya solat lima kali sehari, inilah benda yang saya syukuri dalam hidup.
“Melalui solat, saya dapat berhubung dengan Allah. Dengan solat, semuanya menjadi mudah untuk saya terus berkarya,” jelasnya kepada HibGlam.
Harris percaya, walau sesibuk manapun seseorang itu mengejar dunia, selagi tidak melupakan Tuhan, hidupnya akan sentiasa diberkati.
“Setiap hari, iman saya menjadi semakin teguh. Matlamat (syurga) saya kian menjadi lebih jelas. Dengan menghasilkan muzik dan tidak alpa terhadap suruhan agama, hidup jadi lebih tenang. Bukan saya tak pernah buat jenis muzik lain, pernah. Cuma memang tiada jiwa.
“Pernah dipertemukan kejayaan luar dari genre yang saya buat sekarang. Patutnya saya gembira waktu itu sebab lagu itu paling banyak distrim di Spotify, cuma tak seronok di jiwa. Sekarang misi saya jelas, buat muzik yang dekatkan diri dengan Tuhan, sebab itu yang selamatkan diri saya. Tidak pernah ada niat nak membelakangkan Tuhan,” jelasnya.
Terus berbicara soal pegangan agama, rasa cinta terhadap Tuhan semakin hari semakin menebal sebagaimana kehidupan bergerak ke hadapan dan matang bersama waktu.
“Lagu I Promise buat saya berfikir panjang. Makin menginjak dewasa, ada orang penting yang saya tak sempat habiskan banyak masa bersama, namun sudah dijemput Ilahi.
“Tuhan ambil mereka sebelum saya dapat beri ‘sesuatu’ kepada mereka. Tapi, inilah lumrah kehidupan. Apa yang kita ada sekarang bukan milik kita selama-lamanya,” katanya.
Al-Quran paling berkuasa
Al-Quran menjadi panduan utama Harris dalam berkarya.
Katanya, muzik itu sangat berkuasa, sama ada membawa seseorang dekat dengan Tuhan dan sebaliknya.
“Tiada perkara yang lebih berkuasa di dunia melainkan al-Quran. Ada jenis muzik yang buat kita jauh daripada al-Quran. Saya pasti kalian semua sudah merasainya. Tapi, untuk saya kalau nak buat muzik, saya ingin membawa orang dekat dengan agama dan al-Quran.
“Misalnya, saya dengar muzik Maher Zain, saya rasa sangat dekat dengan Tuhan. Saya mahu muzik menjadi batu loncatan bertemu dengan Tuhan, itu misi saya,” kata penyanyi yang menjayakan promosi eksklusif album EP terbaharunya, Revival di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Revival
Diterbitkan Awakening Music, Revival menandakan kembalinya Harris ke arena muzik selepas beberapa tahun menyepi, sekali gus menjadi lambang kelahiran semula peribadi dan muziknya.
Mengandungi enam lagu, Revival penuh makna yang menganyam tema keimanan, kasih sayang dan perjalanan spiritual seraya mencerminkan kematangan dirinya sebagai pengkarya dengan lirik-lirik lebih mendalam dan penuh ketulusan.
“Malaysia sentiasa mempunyai tempat istimewa di hati saya. Sokongan tidak berbelah bahagi daripada peminat di sini jadi inspirasi terbesar. Saya berharap EP Revival dapat diterima baik dan menjadi teman dalam perjalanan spiritual mereka,” katanya.
EP Revival menampilkan gabungan lagu-lagu baharu dan karya ikonik yang disusun semula. Projek istimewa itu disempurnakan dengan lagu-lagu utama seperti Qalbi Fil Madinah yang menampilkan kerjasama dengan Maher Zain, O Allah, Salati dan Always Listening.
Single utama, Hayati turut diiringi video muzik sinematik arahan Idris Kheder yang berdarah Perancis-Tunisia dengan lokasi penggambaran menakjubkan di Granada, Sepanyol.
Ujarnya lagi, album itu bukan sekadar kembalinya Harris J dalam industri muzik, tetapi juga membawa misi peribadi yang lebih besar.
“Saya ingin membantu generasi muda Muslim berasa lebih bangga dengan identiti mereka dan membantu mereka melihat bahawa Islam adalah cara hidup yang sempurna,” katanya.
Album EP Revival kini tersedia di semua platform penstriman utama.