MENGANGKAT kisah buli dalam teater terbaru, pelawak dan penyampai radio, Issey Fazlisham nafi menunggang isu yang sedang hangat diperkatakan demi menarik kehadiran penonton.
Issey atau nama sebenarnya, Fazlisham Mat Husin, 35, berkata, pementasan Teater Dalam Penjara pada 30 Ogos ini sempena penganjuran Makar Fest di Johor menjadi tanda solidariti terhadap gejala membimbangkan itu.
“Bukan nak tunggang tapi isu ini semakin membimbangkan. Kalau tidak ke depan untuk bercerita, kita akan ketinggalan. Kenapa tidak saya kongsi sedangkan ada ruang yang bagus?
Jika tidak dapat ruang, kita cari peluang agar dapat menjalankan tanggungjawab sosial ini sebagai antara cara kita mengingatkan masyarakat mengenai impak perbuatan tersebut.
“Apalah erti kemerdekaan jika kita masih dibelenggu jenayah buli. Kempen ini mahu mengajak orang ramai katakan tidak kepada buli, itu bukan budaya kita,” katanya selepas sidang media Makar Fest 2025 di Blvckdoor Space, hari ini.
Mengenai teater arahan Sabri Yunus terbitan Red Bean Productions itu, pementasaan berkenaan bakal diadakan di KotaJail, juga merupakan bekas tapak penjara ketiga tertua di Malaysia.
“Menariknya, teater ini akan dipentaskan dalam sel penjara sebenar iaitu di KotaJail yang berusia lebih 100 tahun dan dahulunya menempatkan ramai banduan.
Operasi penjara itu dihentikan pada 2015 dan baru dibuka semula awal tahun ini. Jadi kami pentaskan teater ini dalam penjara yang kini dinaik taraf sebagai lokasi tumpuan pelancong.
“Tentu sahaja ini juga peluang buat pengunjung Makar Fest 2025 merasai pengalaman berada di sel yang pernah menempatkan banduan suatu ketika dulu,” ujarnya.
Antara barisan pelakon lain yang memantapkan pementasan terbabit ialah Ammar Titan, Angeline Tan, Ain Sufia, Sabri serta Issey sendiril.
“Kita mempunyai perancangan merealisasikan Teater Dalam Penjara selama dua hari, namun buat masa ini hari yang sudah disahkan adalah pada 30 Ogos iaitu sebelah petang.
Kelainan yang saya kami perkenalkan adalah ini merupakan pementasan teater di penjara sebenar yang pertama di Malaysia,” katanya.
Selain teater, Makar Fest KotaJail itu yang bermula pada 29 Ogos dan berakhir pada 1 September 2025 turut dimeriahkan acara lain termasuk pertandingan nyanyian, tarian, grafiti, malam kebudayaan dan Pesta Makar Fest (Indie Band).
Tiada caj dikenakan untuk masuk ke KotaJail sepanjang festival berlangsung termasuk jualan barangan serta makanan namun tiket bagi Teater Dalam Penjara diumumkan dalam waktu terdekat. – HIBGLAM