‘Kurang bergaul, simpan tenaga untuk perkara penting’

NAMA Aniq Suhair bukan asing lagi dalam radar seni tanah air. Figura tinggi lampai itu pernah dihentam badai kontroversi, namun kini tampil lebih matang, berjiwa besar, malah kian teguh berdiri di pentas lakonan.

Bayangan suram masa lalu sedikit sebanyak pernah menenggelamkan dirinya, terutama ketika isu besar membadai hingga ramai menjauh.

Dalam diam, pemilik nama sebenar Muhammad Aniq Suhair Mohd Salleh itu memilih untuk mengundurkan langkah, menyambung pengajian dan mencari semula ketenangan yang lama hilang.

Biarpun masa lalu masih berbekas, jejaka berusia 25 tahun itu enggan lagi menoleh ke belakang. Baginya, hidup mesti diteruskan dengan semangat baharu.

Jarang kelihatan bergaul dengan ramai rakan, pucuk muda itu lebih selesa mengekalkan lingkaran kecil. Ketika disoal sama ada dia trauma atau pernah dikhianati, jawapan Aniq cukup tenang.

Bukan sebab memilih kawan. Saya berkawan dengan semua orang. Cuma lebih banyak simpan tenaga untuk perkara penting sahaja. Kadang-kadang kawan ajak keluar, saya pergi. Bezanya, saya tak suka hebohkan di media sosial.

“Kalau tengok Instagram saya pun jarang nampak aktiviti lepak. Itu semua saya lebih suka simpan sebagai ruang peribadi.

Bagi saya, lebih nikmat bila dapat jumpa kawan dalam keadaan tenang dan tanpa sorotan ramai,” katanya kepada HibGlam.

Mengimbas kembali tempoh dia berehat seketika daripada dunia seni, pelakon drama Journal Sara-haeyo itu mengakui fasa tersebut sebenarnya menjadi titik muhasabah.

Dia mendekatkan diri dengan perkara positif, malah menegaskan keluarga menjadi sandaran terbesar.

Waktu itu, saya rasa perlu tutup buku lama dan buka lembaran baharu. Banyak masa saya habiskan bersama keluarga. Dari situ saya nilai semula semuanya dan belajar untuk lebih berhati-hati.

“Sekarang, fokus saya hanya pada kerja dan keluarga. Pengalaman lalu buat saya lebih matang dan jelas tentang arah tujuan,” tuturnya.

PENGALAMAN lalu mematangkan, fokus Aniq kini adalah mengukuhkan kerjaya seni selain menghargai keluarga yang bukan sahaja bertindak sebagai penyokong malah tulang belakangnya  selama ini.

Tambah pemenang Anugerah BBNU Tonton Tonton Anugerah Drama Sangat 2023 itu, dunia seni terlalu istimewa untuk dilepaskan begitu sahaja.

Katanya, jiwanya sebati dengan lakonan, malah rasa rindu semakin membuak-buak apabila lama tidak berada di set penggambaran.

Saya dah sampai tahap kalau tak shooting, rasa macam kehilangan. Lakonan itu bukan sekadar kerja, tapi hobi yang menjadi jiwa.

“Setiap kali pegang karakter, saya rasa hidup semula. Jadi selagi ada ruang dan masa, saya akan terus bersama dunia lakonan kerana inilah cinta sebenar,” ujarnya menutup bicara.

Pun begitu, pelakon kelahiran Kajang, Selangor itu tetap meletakkan beberapa syarat sebelum menerima sesebuah projek, lebih-lebih lagi bagi memastikan jadual seninya tidak menjejaskan komitmen lain termasuk perniagaan peribadi.

“Walaupun kembali aktif berlakon, bukan bermaksud semua tawaran saya sauk. Saya bukanlah terlalu memilih cuma kena tengok dulu jalan cerita, sama ada sesuai atau tidak nak bawa.

Masa pun jadi faktor penting. Ada tawaran drama panjang yang saya terpaksa tolak sebab bertembung dengan jadual. Sebab itu saya cuba susun, sekurang-kurangnya sebulan satu naskhah.

“Kalau drama bersiri, saya memang bincang dengan pengurus. Kalau ceritanya menarik, saya ambil. Tapi mungkin ada syarat, contohnya mahu sehari cuti pada hari bekerja. Itu penting untuk uruskan bisnes pula,” tutupnya.

Dalam perkembangan terkini, Aniq bakal muncul dalam telefilem berjudul Ayah arahan Zul Huzaimy.

Naskhah terbitan A.Aida Production itu turut menampilkan pelakon hebat seperti Azeva Natassha, Dharma Harun dan Ezzaty Abdullah. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok