‘Hint’ kahwin? Video terbaharu Amira Othman, siap ada ‘hanger’ A & F

PENYANYI juga pelakon Amira Othman sekali lagi membikin rasa tidak keruan ramai peminat apabila video terbaharunya yang mengayakan busana pengantin turut memaparkan ‘hanger’ tertera abjad A dan F.

Menguatkan lagi khabar angin kononnya Amira bakal berkahwin apabila video yang tertera abjad A dan F pada penyangkut baju itu dimuat naik oleh pengasas jenama HijabistaHub, Wanie Elena.

Meskipun video berkenaan dikatakan hanyalah gimik untuk video muzik lagu terbaharu Amira, namun ramai peminat yang menyangka video tersebut adalah untuk rakaman pra-perkahwinannya dan ruangan komen dihujani dengan ucapan tahniah.

“Wow dekat ‘hanger’ ada tulis A dan F. Betul-betul ‘pre-wedding’.

“Tahniah, selamat pengantin baru,” tulis salah peminat.

Biarpun peminat masih berteka-teki Amira atau nama lengkapnya Nadia Amira Othman, 31, sekadar melakukan gimik, namun sesuatu istimewa bakal berlaku.

Menariknya, tanpa sebarang pengumuman rasmi ramai peminat yang teruja meneka tarikh, ada yang berseloroh mahu jadi perancang perkahwinan segera dan tidak kurang juga yang sekadar menunggu dengan penuh debaran.

Sama ada benar bakal melangkah ke pelamin atau sekadar gimik manja, Amira yang dikaitkan menjalinkan hubungan dengan duda terhangat, Fattah Amin ternyata berjaya mencuri perhatian.

Difahamkan satu sesi siaran langsung di TikTok bakal diadakan antara pihak HijabistaHub dan Amira pada 29 Ogos ini untuk menjawab segala persoalan.

Terdahulu, pasangan terbabit hanya menyatakan mereka sekadar teman sekerja biarpun hubungan masing-masing dengan keluarga kedua-dua belah pihak makin akrab.

Bahkan tersebar khabar angin bahawa Amira dan Fattah didakwa bakal melangsungkan perkahwinan pada Oktober ini, namun ada peminat menebak mereka memilih hari jadi aktor itu pada 14 September sebagai momen diijabkabul. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok