AKTRES Mira Filzah, melakar sejarah membanggakan apabila drama lakonannya, Gadis Masa, berjaya tersenarai dalam pencalonan kategori OTT Original Terbaik di International Streaming Festival Global OTT Awards 2025.
Mira atau nama sebenarnya Nur Amirah Filzah Badioezaman, 32, turut mencipta peribadi apabila menjadi pelakon wanita Malaysia pertama dijemput sebagai penyampai anugerah pada majlis tersebut.
Kata Mira, dia tidak menyangka drama terbitan platform penstriman Viu itu berjaya tercalon memandangkan persaingan hebat daripada pelbagai produksi luar negara.
“Saya sangat terkejut apabila mendapat tahu drama ini tercalon.
“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana ini bukanlah calang-calang pencalonan. Kita bersaing dengan produksi hebat dari luar negara,” ujarnya.
Pengiktirafan tersebut bagaimanapun bukan sahaja untuk dirinya, tetapi buat seluruh pasukan produksi yang bekerja keras menjayakan drama berkenaan.
“Saya harap pada masa akan datang, lebih banyak karya tempatan berjaya menembusi pasaran antarabangsa,” katanya.
Difahamkan, acara anugerah tersebut akan berlangsung pada hari ini di Busan, Korea Selatan.
Mira dan pihak Viu akan menghadiri majlis karpet merah berprestij itu.
Drama arahan Yussuf Yunus dengan idea asal Syarul Akmal dan diterbitkan oleh Cinemalaya Studios itu turut menampilkan pelakon popular Syafiq Kyle dan Tracie Sinidol.
Drama Gadia Masa yang bergenre romantik komedi itu mengisahkan seorang wanita muda yang kembali ke masa lalu untuk menghalang suaminya daripada menceraikannya, namun setiap cubaan menyelamatkan perkahwinannya membawa kesan yang tidak dijangka.
Sejak tayangannya pada awal 2025, Gadis Masa telah meraih pujian kritikal dan sambutan luar biasa daripada peminat kerana jalan cerita yang di luar kotak. – HIBGLAM