PENYANYI sensasi Baby Shima meminta seorang lelaki yang juga peminat fanatiknya tidak melakukan sebarang tindakan melulu hanya disebabkan cemburu melihat gelagat mesranya bersama model dalam video muzik lagu baharunya, Island Boi.
Menurut Shima, 32, perkara tersebut disuarakannya selepas individu berkenaan beberapa kali mengugut mahu mengambil nyawanya sendiri menerusi mesej yang dihantar dalam Instagram sejak semalam.
“Abang oi, bawa mengucap! Sejak semalam abang ‘spam’ komen cakap nak bunuh diri.
“Kenapa nak cemburu pula aksi saya dalam video muzik itu?” katanya dalam satu hantaran Instagram.
Tambahnya, lakonan mesranya dengan beberapa model ‘mat salih’ dalam video muzik dan menelan belanja yang besar tersebut tidak seharusnya dicemburui mana-mana pihak.
“Tak akanlah saya nak suruh YouTube tolong hapuskan video muzik Island Boi itu pula.
“Penat-penat saya jalani penggambaran, panggil model-model ‘mat salih’ import pula, bajet besar,” ujarnya.
Sementara menerusi mesej yang dihantar lelaki tersebut, dia mengakui cemburu melihat gelagat mesra Shima Bersama model selain memberi amaran ingin mencabut nyawa sendiri.
Dia juga memberi tempoh selama tiga hari dan meminta Shima memadam video tersebut.
Video muzik Island Boi yang dimuatnaik dalam YouTube sejak semalam sudah meraih lebih 76,000 tontonan.
Rata-rata netizen memuji muzik lagu tersebut ‘catchy’ dan liriknya mudah diikuti. – HIBGLAM