ENGGAN terasa hati, pelakon Datin Paduka Eina Azman hanya mampu tertawa tatkala segelintir netizen mendakwa wajahnya kini berubah sehingga kelihatan pelik berbanding dahulu.
Ujar Eina atau nama sebenarnya, Ainur Syakina Azman, 30, kebahagiaan hidup lebih penting daripada memenuhi jangkaan orang luar terhadap penampilannya.
“Saya tidak pernah minta pandangan sesiapa tentang wajah saya.
“Saya bahagia dengan kehidupan saya. Kalau orang nak kata saya kurus macam kartun Popeye atau rambut hitam macam pontianak sekali pun, saya tetap okey.
“Bagi saya, keluarga gembira dan orang tersayang berada dekat, itu sudah cukup,” katanya.
Tambah pelakon The Maid 2 itu, dia langsung tidak terkesan dengan serangan kata-kata negatif, sebaliknya menganggap komen tersebut sebagai hiburan ringan buat dirinya dan suami tercinta, Datuk Paduka Kaisaer Gurmeet.
“Saya tidak marah, hanya mampu ketawa saja. Suka hati kamu nak kata apa.
“Saya asyik baca komen orang menuduh saya pakai filter, mempertikaikan bentuk mata, hidung dan kening saya.
“Apa masalahnya? Gemuk salah, hitam salah, muka berjerawat pun salah. Bila kurus dan putih, tetap salah juga kan?,” ujarnya.
Rata-rata netizen juga berbelah bahagi dalam menilai perubahan wajah pelakon itu.
Ada yang menyifatkan kecantikan Eina tetap terserlah meskipun berbeza, namun tidak kurang juga menegur agar artis itu tampil lebih sederhana.
“Cantik tetap cantik, tak kira bagaimana pun wajah Datin tapi kalau dah macam berubah sangat, nampak pelik pula,” komen seorang pengguna media sosial.
“Kalau sudah bahagia, buat apa peduli kata orang. Hidup untuk diri sendiri, muka awak duit awak, lantakkan sahaja apa orang kata,” tulis seorang lagi netizen.
Terdahulu, wajah ibu dua anak itu menjadi bualan hangat ketika muncul bersama suaminya dalam satu sesi siaran langsung yang kemudian tular dalam media sosial. – HIBGLAM.