DUNIA hiburan Malaysia bagai piring hitam berputar tanpa henti, lagu sama dimainkan, rentak serupa bergema, hanya pelantunnya bertukar suara.
Semua itu ibarat rencah yang sudah terbiasa sejak era 1990-an lagi. Penonton setia pula terus disuap dengan resipi lama, tiada pembaharuan, cuma pelakon utama sahaja silih berganti.
Itulah lumrah kehidupan, industri seni tanah air tetap sibuk menghitung onar peribadi terkadang lebih dramatik berbanding pentas karier.
Selebriti juga manusia yang perlukan pengadilan dan pekarangan mahkamah antaranya tempat wajib, gelanggang kedua selain pentas cari makan mereka.
Minggu ini sahaja, wartawan hiburan ibaratnya berkampung di mahkamah. Bertali arus kes bertimpa, daripada perceraian hinggalah tuduhan berbau jijik yang mencalarkan imej selebriti.

NORA tetap nekad mahu cerai, namun suaminya, Rusdhi belum berniat begitu.
Bermula dengan penyanyi Datuk Nora Ariffin. Tiga tahun melayari bahtera perkahwinan bersama pensyarah kanan Universiti Malaya, Dr. Rushdi Ramli, akhirnya rumah tangga mereka buntu di meja Jawatankuasa Pendamai (JKP).
Prosiding kini beralih ke proses hakam selepas gagal menemui kata sepakat.
Saya dah buat apa yang perlu dan saya juga sudah tunaikan segala permintaan, malangnya kuasa talak bukan di tangan wanita,” ujarnya sambil menegaskan enggan lagi hidup dalam persekitaran toksik.
Rushdi pula tetap enggan akur mahupun bercerai tanpa alasan munasabah. Hakim kemudian menetapkan 3 September depan sebagai tarikh sebutan kes.
Tidak sempat isu pelantun lagu Samudera itu reda, pentas mahkamah bertukar wajah dengan babak pelawak Along Cham.

KES cerai Along Cham dan isterinya, Afreena bersambung lagi pada 30 September ini.
Kes lafaz taklik bersama isteri, Afreena Suhaimi, masih belum bernoktah malah sudah berlarutan sejak awal tahun, penuh hujah bercelaru dan penangguhan berulang kali.
Mental tak terganggu, cuma mulut netizen sampai libatkan keluarga. Saya di pihak benar. Kalau orang tak tahu cerita sebenar, biasalah lelaki akan kena A to Z,” kata Along.
Namun isterinya, Afreena, punya nada berbeza.
Saya nak surat cerai, itu sahaja. Benda ini dah pending lama, hampir setahun,” katanya tegas selepas kes ditangguhkan lagi ke 30 September depan.
Tidak habis di situ, datang pula penyanyi Naim Daniel yang terpalit pertuduhan amang seksual terhadap remaja 17 tahun membuatkan dunia hiburan bergoncang hebat.
Saya dalam keadaan baik-baik sahaja. Sekarang sibuk menulis lagu dan fokus pada diri sendiri,” katanya dengan wajah sugul ketika ditemui.

TERJEBAK kes amang seksual sejak Mei lalu, Naim Daniel kelihatan sedikit susut dan sugul, namun mengakui dia
baik-baik sahaja.
Apa pun alasan, dakwaan itu tetap menconteng arang pada lembaran kariernya. Kesnya bakal disebut semula September ini dan andai sabit, hukuman penjara menanti.
Belum selesai babak penyanyi Sumpah itu, giliran pasangan selebriti Linda Hashim dan Beego pula masuk bertamu ke kamar hakim.
Linda mendakwa suaminya melanggar lafaz taklik, dan mempunyai bukti kukuh termasuk rakaman video.
Dia yang buat lafaz taklik, dia juga yang langgar. Saya tak suruh pun,” tegasnya.

MEMASUKI episod baharu, Linda Hashim perlu membuat pengesahan taklik akibat berlaku pelanggaran
di pihak Beego.
Beego, 45, pula memberi alasan tidak hadir kerana masalah kesihatan.
Peguamnya memohon penangguhan, manakala hakim menetapkan kes berlarutan ke 22 Oktober depan.
Pasangan yang berkahwin sejak 2013 itu kini berdepan kemungkinan berakhir di meja hakam.
Di satu sudut lain, penyanyi Zehra Zambri akhirnya menarik nafas lega.
Selepas lima bulan turun naik mahkamah, lafaz talak satu akhirnya menoktahkan rumah tangganya dengan Nur Mohd. Iqwan.
Alhamdulillah selesai, sedikit beban sudah hilang. Saya perlukan masa untuk pulihkan diri dan berdamai dengan takdir,” katanya
Setidak-tidaknya, satu episod ditutup walaupun masih ramai artis lain terus hanyut dalam naskhah masing-masing.
Benarlah, dunia hiburan Malaysia bagai pentas teater tidak bertirai. Setiap minggu ada skrip baharu, namun jalan cerita tetap sama, lafaz cerai, tuntutan nafkah, amang seksual, atau najis dadah. – HIBGLAM