DI Korea Selatan, pendidikan sering dianggap kunci utama untuk mencapai status sosial yang tinggi, malah lulusan universiti ternama khususnya di Seoul, biasanya dipandang lebih gah dan peluang pekerjaan juga terbentang luas.
Tidak hairanlah, masyarakat di sana sering menilai pencapaian hidup berdasarkan tahap akademik.
Di tengah norma itu, ada juga artis Korea memilih jalan berbeza dengan menolak bangku kuliah demi mengejar impian di pentas hiburan.
Bertuahnya, keputusan itu membawa mereka ke mercu populariti. Kimchi Panas minggu ini menampilkan lima bintang Korea yang hanya lulusan sekolah menengah, namun membuktikan bakat mampu mengatasi segalanya.
BoA
Sebelum nama BTS dan Blackpink menguasai dunia, BoA sudah pun terlebih dahulu membuka jalan.
Idola jelita itu memulakan karier seawal usia 13 tahun, seterusnya melonjak sebagai salah seorang pelopor gelombang Hallyu di peringkat antarabangsa.
Dengan vokal bertenaga serta persembahan mantap, BoA menawan pasaran Jepun, China dan Asia Tenggara, sekali gus membuktikan bintang Korea mampu menembusi sempadan budaya.
Keputusan untuk tidak melanjutkan pengajian ke universiti dibuat sejurus tamat sekolah menengah, malah fokusnya hanya pada karier nyanyian yang sedang rancak berkembang.
Bukan siswazah, Boa, 38, tetap legenda, bahkan satu masa dahulu sempat digelar Ratu K-pop.
IU
Populariti IU atau nama sebenarnya Lee Ji-eun sememangnya tidak boleh dinafikan, malah sudah dianggap legenda dalam dunia K-pop.
Popularitinya bukan sekadar dalam kalangan peminat, bahkan ramai idola ternama seperti Jungkook (BTS), Suho (EXO) dan Wonwoo (SEVENTEEN) turut memuja wanita jelita itu.
Lebih mengagumkan, idola berusia 32 tahun itu menjadi penyanyi wanita pertama yang berjaya mengadakan konsert solo di Stadium Jamsil, gelanggang terbesar di Korea.
Sebelum terang bersinar seperti hari ini, jalan yang ditempuh pelantun lagu Love Wins All itu tidak mudah apabila asalnya dia lahir daripada keluarga miskin bahkan menanggung kesukaran hidup akibat hutang.
Sejak usia remaja, wanita tinggi lampai itu berusaha keras mengejar impian, menyertai puluhan uji bakat tanpa henti, meski berulang kali gagal.
Akhirnya pada 2007, tuah menyebelahinya selepas menandatangani kontrak bersama LOEN Entertainment dan kariernya mula melonjak deras, namun pelajaran mula terabai bahkan nilainya merosot, kecuali dalam mata pelajaran sastera Korea.
Selepas tamat persekolahan di Dongduk Girls’ High School, IU memilih menumpukan tenaganya terhadap nyanyian dan lakonan.
Keputusan meninggalkan dunia akademik terbukti tepat apabila namanya kini berdiri gah sebagai antara artis paling berpengaruh di Asia.
Suzy
Suzy, si jelitawan kelahiran 1994 mula diperkenalkan melalui kumpulan Miss A, namun populariti memuncak yang diraih melebihi rakan sepasukannya membuatkan dia menukar haluan, memberi tumpuan penuh terhadap kerjaya solo, terutama sebagai pelakon.
Seiring jadual padat dan tawaran projek bertubi-tubi, idola berusia 30 tahun itu menyedari dirinya tidak mampu membahagikan masa untuk kuliah.
Justeru, selepas menamatkan pengajian di School of Performing Arts Seoul pada 2013, dia memilih untuk terus melangkah ke dunia hiburan tanpa menoleh ke belakang.
Keputusan itu bukan sekadar berjaya, malah menjadikannya salah seorang aktris paling dicari di Korea.
Lakonan memukaunya dalam drama seperti Dream High, While You Were Sleeping dan Start-Up mengukuhkan lagi reputasi sebagai ‘Nation’s First Love’.
Kini, Suzy bukan sekadar bintang skrin tetapi juga ikon fesyen, wajah iklan pelbagai jenama mewah, sekali gus bukti bahawa ilmu akademik bukanlah penentu tunggal untuk mencapai kejayaan hidup.
Jeon Jeong-seo
Berbeza jalan cerita dengan bintang lain, aktres Jeon Jeong-seo pernah cuba memasuki kehidupan kampus.
Dia mendaftar di Sejong University dalam jurusan Filem dan Teater dan setahun kemudian menarik diri kerana berasakan kaedah pembelajaran di sana tidak sesuai dengan jiwanya.
Enggan sekadar memeluk tubuh, wanita berusia 31 tahun itu mengambil kelas lakonan secara peribadi untuk mempertajamkan bakat.
Namanya mula mencuri tumpuan selepas berlakon dalam filem Burning bersama Yoo Ah-in diikuti prestasi luar biasa dalam The Call melayakkan aktres jelita itu memenangi trofi Aktres Filem Terbaik menerusi Baeksang Arts Awards pada 2021. – HIBGLAM