Jangan khuatir tentang perjalanan kita, cepat atau lambat urusan Dia’

MEMUAT naik hantaran ‘mengundang’, tindakan penyanyi Amira Othman menggayakan busana pengantin serba putih dalam video di Instagram meraih perhatian ramai.

Biarpun difahamkan itu sekadar gimik pembikinan muzik video lagu baharu, pemilik nama lengkap Nadia Amira Othman, 31, itu memberi lagi bayangan tentang jodoh.

Hidup kita semua mempunya takdir yang berbeza-beza. Cepat atau lambat tiada siapa yang tahu urusan Dia (Allah).

“Jangan khuatir tentang perjalanan kita, kerana kita ada Dia,” katanya menerusi potongan video berdurasi beberapa saat itu.

Selain menunjukkan persalinan lengkap dengan layah diacu tiara bersama dulang hantaran siap digubah, solekan menambahkan aura seri wanita terbabit.

Selebriti yang dikaitkan intim dengan duda terhangat, Fattah Amin itu juga sempat menyentuh mengenai ketentuan takdir selain sikap bersangka baik kepada Allah.

Tiada perkara yang terjadi dalam hidup kita dikatakan lambat mahupun terlalu cepat kerana takdir kita semua berbeza-beza.

“Yakin dan pasti yang baik-baik,” ujarnya.

Begitupun menguatkan telahan video terbabit hanya gimik kerana sejak 20 Ogos lalu Fattah membawa anak tunggalnya Nur Fatima Aisya bercuti di Disneyland Tokyo, Jepun.

Sementara itu, menerusi ruangan komen, ramai memuji kejelitaannya selain menitipkan doa agar jodoh Amira dengan Fattah dilancarkan.

“Masya-Allah cantiknya, semoga hari bahagia itu menjelma,” ujar netizen lain.

Terdahulu, pasangan terbabit hanya menyatakan mereka sekadar teman sekerja biarpun hubungan masing-masing dengan keluarga kedua -dua belah pihak makin akrab.

Terbaru Amira dan Fattah didakwa bakal melangsungkan perkahwinan pada Oktober ini, namun ada peminat menebak mereka memilih hari jadi aktor itu pada 14 September sebagai momen diijab kabul. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok