‘Belum sampai tahap mohon bantuan zakat’ 

SALIH Yaakob, sepotong nama yang tidak asing dalam industri seni tanah air.

Mengimbau sejenak, lelaki yang sedang melewati usia senja itu antara selebriti versatil suatu ketika dahulu apabila bergelar pengacara, pelakon, pelawak, penyanyi, pengarah dan profesion terakhirnya, penyampai radio.

Semua disambarnya demi kelangsungan hidup sebagai anak seni. Sayangnya, kemasyhuran tersebut hanya bersifat sementara dan kini, namanya kian pudar tanpa sebarang tawaran kerja, berlakon filem jauh sekali.

Berpeluang bersua baru-baru ini, pemilik nama Mohammad Salih Yaacob itu mendedahkan sudah hampir lima tahun tidak menerima sebarang tawaran lakonan daripada mana-mana rumah produksi tempatan.

Membuat andaian sendiri, Salih berkata, perkara tersebut mungkin disebabkan namanya tidak lagi popular apatah lagi dengan kehadiran ramai pendatang baharu dalam industri seni.

“Tiada tawaran lakonan langsung sejak lima tahun lalu.

Sebelum ini kalau dapat pun, bayaran terlalu rendah sekitar RM300 untuk drama dan RM1,000 pula untuk filem.

“Sedikit sangat, tak berbaloi untuk penat lelah pada usia begini. Mungkin pada zaman sekarang nama saya pun tidak serancak dahulu, tak mengapa,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

MESKI tiada tawaran kerja dalam dunia seni, Salih bersyukur masih dikurniakan rezeki membuat reviu produk dalam media sosial.

Berlapang dada dengan dugaan hidup, bekas penyampai radio Sinar FM itu tetap berusaha mencari nafkah dengan pelbagai cara, termasuk melakukan reviu produk dalam media sosial.

Walaupun tiada tawaran, rezeki tetap tak putus. Syukur masih ada yang beri peluang saya buat reviu produk dalam media sosial. Sekurang-kurangnya dapat menambah pendapatan untuk menyara keluarga,” jelasnya.

Berpijak di bumi nyata, pelakon berusia 63 tahun itu tidak bersedih sebaliknya mengakui zaman kegemilangannya sudah berakhir. Kini giliran pendatang baharu pula bersinar.

Dia juga sudah puas merasai kemewahan dan tiba masa untuk fokus melakukan amal ibadah.

Saya sudah rasa macam-macam benda, hidup mewah dan bayaran puluhan ribu.

“Sekarang sudah berada dalam fasa akur dengan ketentuan Allah SWT dan menikmati kehidupan seadanya,” tuturnya.

BINTANG filem Gila-Gila Pengantin itu menegaskan enggan menagih sebarang bantuan daripada mana-mana pihak sebaliknya tetap berusaha mencari rezeki sendiri.

Ditanya sama ada pernah memohon bantuan daripada mana-mana pihak, Salih menolak pendekatan sebegitu.

Selagi ada sisa kudrat, dia masih mahu berusaha mencari rezeki sendiri.

Saya tak akan sesekali mengemis bantuan daripada mana-mana individu atau pihak. Kalau dapat, saya terima dengan berlapang dada tetapi rasanya ramai lagi yang lebih memerlukan.

“Bantuan zakat pun saya tak mohon sebab masih mampu untuk berikannya kepada orang lain. Belum tiba masa dan tak sampai ke tahap itu lagi.

“Setakat ini pendapatan melalui reviu produk, siaran langsung TikTok dan wang daripada anak-anak,” katanya lagi.

Poligami

Sempat dilayangkan pertanyaan tentang kehidupan bersama tiga isteri, Salih berkata semuanya kekal harmoni.

Bercerita tentang poligami, penyanyi Gali Lubang Tutup Lubang itu mengakui pernah terkejut melihat respons ramai yang kagum dengan keputusannya untuk memiliki empat isteri sebelum ini.

“Sebenarnya bila ramai orang puji, saya terkejut.

Saya jadi takut bila cerita ini dapat perhatian satu Malaysia tapi okey sahaja sebab benda baik, bukan perkara negatif,” jelasnya.

SALIH menasihat individu yang ingin berpoligami agar disandarkan kepada agama bukan nafsu semata-mata.

Ditanya sekiranya ada nasihat buat individu yang berhasrat hidup berpoligami, Salih berkata lihat perkara itu sebagai ibadah dan bukannya berlandaskan nafsu.

‘Poligami satu ibadah, jangan ambil kesempatan dan kahwin sebab nafsu.

Saya sendiri tidak pernah terfikir poligami menjadi jalan hidup saya.

“Apa pun jangan takut nak poligami kalau niat di landasan yang betul,” ujarnya.

Tambahnya, dia juga bersyukur rumah tangganya bersama tiga isteri dipermudahkan dan tidak berdepan sebarang konflik.

“Memang syukur mereka saling menerima dan berbaik.

“Saya tak pernah masuk campur hubungan mereka. Semuanya baik-baik saja hingga hari ini,” katanya yang sudah bercerai dengan isteri kedua sekitar 2016. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok