ISTERI kepada pelawak dan pelakon Along Cham, Afreena Suhaimi memaklumkan hanya menerima sekali saja nafkah iaitu sebanyak RM500 sepanjang perkahwinan mereka.
Afreena, 33, berkata, dia tidak mengharapkan lelaki terbabit memberi duit belanja yang besar memandangkan dirinya wanita berkerjaya, namun menyifatkan nafkah kewajipan asas yang perlu disediakan seorang suami.
Selama saya berkahwin dengan dia, tak ingatlah berapa bulan. Sebulan, dua bulan, tiga bulan, empat bulan, saya tak tahu. Sekali sahaja saya pernah dapat nafkah daripadanya iaitu sebanyak RM500.
“Saya tak jangka pun dia nak bagi saya beribu ke apa ke, sebab saya bekerja. Saya ada duit sendiri, pendapatan sendiri. Tapi sebagai suami, itu adalah perkara asas yang perlu disediakan untuk isteri.
“Tapi saya okey, macam saya cakaplah ‘it’s his responsibility, he should know’ (itu tanggungjawab dia, dia perlu tahu). Tapi, tiada pun (nafkah) selepas itu,” katanya kepada Kosmo! Online.
Ditanya sama ada dia akan membuat tuntutan nafkah termasuk bayaran muta’ah daripada Along, katanya dia bukan seorang individu yang mementingkan diri, selain menyerahkan perkara itu kepada peguam.
Saya tak penting diri pun tapi hal tuntutan selepas ini (kes mahkamah) adalah privasi. Biar saya berbincang dulu dengan peguam nanti,” ujarnya.
Terdahulu, Afreena dan Along hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Sepang bagi pengesahan lafaz cerai secara taklik difailkan Along atau nama sebenarnya, Muhammad Nizamuddin Ahmad, 42, pada Januari lalu.
Begitupun, keputusan prosiding perbicaraan pengesahan kes lafaz cerai secara taklik yang diperdengarkan di hadapan Hakim Syarie, Muhammad Nazri Basrawi sejak tujuh bulan lalu ditangguhkan ke 30 September depan.
Membalas pertanyaan sama ada isu rumah tangga mengganggu kerjanya, Afreena tidak menafikan terkesan pada peringkat awal, namun kini sudah mampu meneruskan kehidupan seperti biasa.
Tipulah kalau saya kata tidak terjejas sebab kes ini mendapat perhatian umum tetapi saya sedar masa akan berlalu kerana orang boleh menghukum macam-macam.
“Bagi saya, ia tidaklah menjejaskan sangat reputasi. Cuma, kes ini berlarutan terlalu lama dan mengganggu masa kerana perlu berulang-alik ke mahkamah,” katanya.
Terdahulu, suaminya memfailkan pengesahan lafaz taklik terhadap Afreena selepas mendakwa wanita itu melanggar tiga perkara yang dipersetujui tahun lalu termasuk tidak patuh arahan dan membelakangkan suami.
Pasangan itu bernikah pada 4 April 2024 yang juga merupakan perkahwinan kedua Along selepas berpisah dengan penyanyi Zila Saeron pada September 2016.
Bersama bekas isteri, Along dikurniakan seorang anak lelaki, Ahmad Daniel, 14, manakala Afreena juga mempunyai tiga cahaya mata hasil perkahwinan terdahulu. – HIBGLAM