FENOMENA Bella Astillah dan Syed Saddiq yang terkenal dengan gelaran BASS boleh dikatakan luar biasa.
Mungkin suatu ketika dulu ada selebriti lain yang pernah menjadi seperti mereka tetapi BASS berjaya mencetuskan ledakan tidak terjangka tahun ini.
Disebabkan populariti mendadak tersebut gandingan penyanyi dan Ahli Parlimen Muar itu disambar banyak jenama popular tempatan.
Jadi, ramai yang mula berasakan pemilihan BASS sebagai duta atau mempromosikan sesebuah jenama dan produk adalah pilihan terbaik ketika ini.
Bukan itu sahaja, mereka juga dianggap sebagai alat pelaris untuk mana-mana jenama yang ingin melonjakkan produk di pasaran.
Menurut Bella, dia hanya menjalankan tanggungjawab diberi dan sekiranya produk yang dipromosi laris, perkara tersebut adalah rezeki.
Pelaris? Ya Allah. Sebenarnya jujur saya pun tidak jangka apa-apa yang lebih daripada itu.
“Cuma bila orang cakap pelaris dan dapat membantu, sedikit sebanyak buat saya gembira sebab bukan perkara yang buruk pun,” katanya kepada HibGlam pada sidang media usai pengumuman sijil halal restoran Thong Bowl cawangan IOI Putrajaya baru-baru ini.
Jelasnya, peluang mempromosikan pelbagai jenis produk dan jenama juga dilihat dapat membantu ramai peniaga termasuk bisnes lokal.
“Sekurang-kurangnya kami dapat membantu terutama peniaga-peniaga di Malaysia.
Jadi mana-mana jenama yang mungkin puas hati dengan hasil kerja kami, sangat menggembirakan hati saya.
“Tambahan pula, saya juga berniaga dan sangat memahami perasaan bila produk yang dijual laris,” ujarnya penyanyi berusia 31 tahun itu.
Dihujani dengan pelbagai tawaran sebagai wajah kempen dan duta produk, Bella menganggap rezeki tersebut adalah untuk keluarga terutama dua anaknya, Ayden Adrean dan Ara Adreanna.
“Alhamdulillah setakat ini memang banyak tawaran dan rasa ini pun salah satu orang kata rezeki.
Ini adalah rezeki buat saya, anak-anak, Syed Saddiq dan juga kawasan Parlimennya iaitu di Muar. Saya tumpang gembira untuk dia,” jelasnya.
Ditanya sama ada dia dan Syed Saddiq hadir dalam satu ‘pakej’, anak kelahiran Sabah itu menafikan perkara tersebut.
Katanya, segala urusan menjadi duta atau terlibat dengan sebarang kempen adalah dilakukan syarikat rakamannya iaitu Universal Music dan hanya melibatkan dirinya seorang.
“Saya masih bawah label Universal dan sebarang urusan perlu melalui mereka.
“Sementara Syed Saddiq pula perlu hubungi pengurusannya. Jadi, tidak datang dengan pakej pun,” tuturnya.
Jelas Bella, setiap produk atau jenama yang mahu dipromosikannya akan ‘ditapis’ dahulu ibunya, Siti Zarina Astillah bagi mengelakkan berlaku sebarang unsur penipuan atau ‘false claim’.
“Selain perbincangan dengan label, saya juga akan meminta pendapat mama.
“Kalau dia luluskan, saya akan buat.Kalau boleh saya nak kongsi benda yang tepat. Tidak kisahlah produk makanan atau kesihatan, saya tak mahu menipu orang,” katanya. – HIBGLAM