PENYAMPAI radio Khairy Jamaluddin hampir pitam di dasar laut sesi latihan sehari sebelum bersiaran langsung di kedalaman 10 meter bawah paras laut di Pulau Bidong, Terengganu pada 15 Ogos lalu.
Menurut Khairy, insiden itu berlaku susulan topeng menyelam yang dipakainya terlalu ketat sehingga menyukarkannya bernafas.
Meski berdepan detik cemas pada sesi latihan, Khairy bagaimanapun bersyukur tidak melalui setuasi serupa pada hari siaran langsung selama 30 minit bersama tiga lagi penyampai iaitu AG, Johan dan Fara Fauzana.
“Hari pertama ketika kami ‘test dive’, saya memakai satu topeng menyelam tetapi terlalu ketat pada bahagian dahi dan muka sehingga sukar bernafas.
“Memang risau sebab hampir pitam dalam air ketika itu ditambah tekanan air terlalu tinggi.
“Pada hari kedua memamg agak risau nak pakai topeng menyelam itu sebab bimbang perkara sama berlaku lagi. Namun, syukur semuanya okey sahaja,” katanya kepada HibGlam pada majlis Misteri kotak dasar laut: Bekpes Hot bongkar rahsia ‘harta karun’, hari ini.
Menurut KJ lagi, meski timbul beberapa kerisauan, proses bersiaran pada hari kedua berjalan lancar.
“Antara kerisauan utama adalah faktor cuaca kerana kami langsung tidak dapat mengawalnya. Jika pada pagi itu berlaku ribut atau arus terlalu kuat, rakaman pasti tergendala.“Kedua, cabaran daripada diri kami sendiri, walaupun selam skuba nampak mudah tetapi bila perlu bercakap, berenang, mengikut skrip, semuanya menambah risiko.
“Ketiga, risiko teknikal. Jika isyarat audio gagal dihantar dari dasar laut ke pasukan produksi di atas bot, ia boleh menjejaskan keseluruhan proses,” katanya lagi.
Pernah menawan Gunung Kinabalu, Sabah tahun lalu, Khairy berharap aktiviti yang dilakukan penyampai Bekpes Hot menjadi inspirasi kepada orang ramai.
“Apabila nampak aktiviti sebegini mendapat respons positif ramai, kami sangat gembira.
“Harap dapat beri motivasi kepada orang lain. Sebelum ini selepas kami daki Gunung Kinabalu, ramai juga nak buat. Begitu juga dengan selam skuba,” ujarnya.
Ditanya apa hasratnya selepas ini, KJ berkata. dia teringin bersiaran langsung di udara pula.
“Mungkin nanti kami akan terbang pula dan kami sedang berbincang dengan beberapa rakan strategik untuk jadikannya realiti.
Paling utama saya perlu memujuk AG, Fara dan Johan sebab aktiviti itu lebih ekstrem dan berisiko berbanding mendaki serta menyelam.
“Jadi, kami akan bincang terlebih dahulu dan umum kalau sudah ada tarikh,” ujarnya.
Pada 15 Ogos lalu, penyampai stesen radio Hot FM kembali melakar kejayaan apabila menakluk laut terbuka dengan bersiaran secara langsung di kedalaman 10 meter bawah paras laut di Pulau Bidong, Terengganu.
Bekfes Hot Skuba yang disertai penyampai pagi, Khairy Jamaluddin atau KJ, Johan, AG dan Fara Fauzana diiktiraf ASEAN Records sebagai Siaran Radio Secara Langsung Yang Pertama Dan Terdalam Disertai Penyampai Di Laut Terbuka.
Sebelum ini Hot FM menerima pengiktirafan MBOR di bawah kategori melakukan Siaran Radio Terpanjang dan Tanpa Henti di Gunung Kinabalu.
Stesen terbabit melakar sejarah apabila bersiaran selama 24 jam tanpa henti sepanjang ekspedisi mendaki Gunung Kinabalu melalui kempen Bekpes Hot Tawan Puncak Kinabalu pada November 2025. – HIBGLAM