‘Bella wanita besi, jadual kerjanya lebih sibuk daripada saya’

AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq menyifatkan pelakon Bella Astillah sebagai wanita besi yang kuat mencari rezeki.

Selesa menjalin kerjasama dengan Bella, Syed Saddiq atau Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 32, berkata, jadual kerja penyanyi berkenaan lebih sibuk berbanding dirinya yang merupakan ahli politik.

“Setakat ini sangat selesa bekerja dengan Bella. Saya kenal dia sebagai seorang wanita besi yang sentiasa bekerja keras.

Seawal pagi dia sudah bekerja dan perkara itu tidak mudah. Mungkin orang lihat dan kenal dia daripada lensa media dan dunia hiburan semata-mata.

“Tapi saya lebih mengenalinya, jadual kerja saya mungkin padat dengan kerja hakiki sebagai Ahli Parlimen tetapi saya rasa dia lebih sibuk,” katanya pada majlis pensijilan halal Thong Bowl cawangan IOI Putrajaya, baru-baru ini.

Ditanya sama ada dia menggalakkan Bella menyertai dunia politik, Syed Saddiq berkata terpulang kepada wanita itu

“Kita semua ada kemahiran, kepakaran dan lebih penting memiliki minat masing-masing. Saya rasa Bella sudah selesa dalam dunianya.

“Dalam dunianya, Bella sudah berkhidmat kepada masyarakat dan melakukannya sebelum saya.

Mungkin ramai tidak tahu sebab setiap kali saya jumpa orang kampung, mereka beritahu Bella sudah banyak kali ke kawasan itu.

“Jadi sama ada Bella nak masuk politik atau tidak, itu adalah hak dia,” jelasnya.

Sebelum ini, Bella dan Syed Saddiq sering meraih pujian ramai apabila rajin turun padang menghulur bantuan di kawasan pedalaman termasuk di Semporna, Sabah. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok