PELAKON Anzalna Nasir mendedahkan suatu ketika dahulu membelanjakan lebih RM100,000 untuk membeli barangan mewah sebagai kepuasan diri.
Anzalna atau nama sebenarnya Nur Anzalna Md. Nasir, berkata, seiring masa dan perubahan gaya hidup, kini keutamaannya adalah berkongsi rezeki dengan golongan memerlukan.
Dulu saya tak kisah pun berbelanja lebih RM100,000 untuk membeli barangan mewah. Sekarang pun masih membeli apa yang saya suka, cuma tidak segila dulu.
“Saya mula sedar harga sebuah beg berjenama sebenarnya mampu mengenyangkan ramai keluarga.
“Wang sebanyak itu juga dapat menyara ibu bapa yang kesusahan, dan membantu seseorang untuk bangkit semula dalam kehidupan,” katanya dalam InstaStory.
Menurut ibu kepada dua cahaya mata itu, perkara tersebut disedari seiring peningkatan usia yang melorongkan hatinya untuk semakin mendekatkan diri kepada Allah.
“Semakin meningkat usia, hati saya hanya mahu dekat dengan Allah. Hidup juga terasa lebih bermakna apabila melakukan kebaikan, memberi kepada yang memerlukan serta mencari keberkatanNya.
Saya berharap akan sentiasa berada di landasan yang betul dan dapat terus istiqamah, doakan saya,” ujarnya.
Dalam hantaran lain, Anzalna juga memaklumkan menerima banyak mesej langsung (DM) menerusi TikTok yang meminta bantuan termasuk satu keluarga miskin.
“Di TikTok saya dapat banyak mesej minta bantuan. Kalau di sekitar KL (Kuala Lumpur) Insya-Allah saya boleh usahakan bantuan tetapi di luar KL agak terbatas sebab anak masih kecil,” katanya.
Menurutnya lagi, dia turut terkesan dengan kisah tular seorang wanita warga emas yang terlelap keletihan ketika berniaga nasi lemak di sebuah gerai di Pulau Pinang.
“Kepada sesiapa yang tinggal di Pulau Pinang, kalau ternampak makcik ini atau tahu lokasinya mungkin boleh kongsi atau hulurkan bantuan,” ujarnya.
Sebelum ini Anzalna pernah menyumbangkan barangan bayi dan keperluan harian kepada keluarga seorang penghantar makanan yang bekerja sambil menggendong anak. – HIBGLAM