Kita tutup buku, tak mahu lagi ada kezaliman – Zehra Zambri

PENYANYI Zehra Zambri menegaskan dia dan Nur Mohd. Iqwan Samsudin tidak akan kembali berbaik sebagai suami isteri selepas sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, di sini hari ini.

Kata Zehra, 38, perkara tersebut juga tidak akan berlaku susulan berlaku perbalahan berpanjangan antara mereka sebelum ini.

“Memang tidak akan kembali sebagai suami isteri sebab wujud shiqaq yan berpanjangan.

“Bagi saya, cukuplah saya berjuang, kasih sayang pun sudah tiada. Apa lagi nak teruskan.

“Kami tutup buku, tak mahu lagi ada kezaliman. Semua yang telah berlaku biarkan sahaja, saya nak buang jauh-jauh,” katanya kepada HibGlam hari ini.

Dalam pada itu, dia juga memaafkan segala yang dilakukan Mohd. Iqwan sepanjang tempoh perkahwinan mereka sebelum ini.

Jelasnya, perceraian tersebut juga ibarat membuka lembaran baharu untuk hidupnya dan mengejar semula impian yang mahu dicapai.

Saya maafkanlah apa sahaja yang telah berlaku dan lalui sebelum ini.

“Rasa sakit semua itu kita simpan. Jadikan pengajaran dalam hidup untuk masa akan datang.

“Saya nak cari semula semangat dan diri saya yang sudah hilang sebelum ini. Insya-Allah saya akan bangkit semula,” jelasnya.

Sekali lagi melalui perceraian untuk perkahwinan kedua, dia mengakui perkara tersebut berat untuk dihadapinya namun tetap belajar untuk berlapang dada menerima takdir Tuhan.

“Siapa yang nak bercerai. Perkahwinan pertama saya dulu pun sangat singkat tapi kali ini lebih berat.

Sebab yang ini saya bermati-matian berjuanglah tetapi ini semua ketentuan Allah SWT.

“Saya dah mula lapang dada dan terus berjalan ke depan, buat masa ini hanya anak sahaja harta yang saya ada,” tuturnya.

Ditanya tentang kekuatan dirinya ketika ini, bekas peserta Gegar Vaganza 11 memberitahu semua yang diperjuangkan adalah demi anak perempuannya yang baru berusia tiga tahun.

“Saya mahu menjaga mental anak dan diri saya sendiri. Sebab itulah saya nekad untuk ambil jalan bersendiri,” katanya lagi.

Hari ini, rumah tangga Zehra dan Mohd. Iqwan akhirnya bernoktah apabila mereka sah bercerai talak satu di selepas lima bulan melalui prosiding mahkamah.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok