‘Borak, pegang bahu.. Itu cara saya tunjuk sayang’

BUKAN miang mahupun lapar kasih sayang, pelakon Nazim Othman sebaliknya mengakui bahawa bahasa cinta atau ‘love language’ dirinya adalah melalui sentuhan fizikal.

Ujar Nazim nama sebenarnya Nushrul Alif Othman, 41, tanpa disedari, dia sering menyentuh orang sekeliling ketika berbual atau bekerja bersama rakan artis.

“Bahasa cinta saya adalah sentuhan fizikal.

“Bila bercakap tentang sentuhan fizikal ini, saya sendiri tak perasan. Tapi lama-kelamaan muncul pula dalam FYP (For You Page) sampai saya terkejut.

“Macam waktu saya berlakon dengan Ezzani Jasny, ada orang gabungkan video saya yang asyik pegang tangan dia. Masa tu baru saya sedar, oh rupanya itu memang ‘love language’ saya,” katanya menerusi video dalam TikTok.

Pun begitu, Bintang drama Dia Bukan Syurga itu menegaskan perlakuan tersebut bukan sengaja dibuat-buat, sebaliknya sudah menjadi cara semula jadi dirinya dalam menzahirkan kemesraan.

“Inilah maksud sentuhan fizikal, tapi bukanlah sampai mengada-ngada atau berlebih-lebihan.

“Kalau saya tengah berbual, saya mesti pegang bahu kawan. Kadang-kadang secara spontan. Itulah diri saya, memang begitu cara saya tunjuk sayang,” ujarnya.

Pendedahan Nazim itu menimbulkan pelbagai reaksi netizen sehingga ada memuji kejujurannya, namun tidak kurang juga yang menyifatkan perkara itu tidak wajar dinormalisasikan kerana melibatkan bukan mahram.

“Memang Nazim mesra orangnya, tapi bab sentuh lelaki dan perempuan bukan mahram tetap berdosa,” tulis seorang pengguna media sosial

“Jangan biasakan, takut nanti orang anggap benda macam ni biasa padahal salah,” kata netizen lain. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok