RUMAH tangga penyanyi Zehra Zambri dan bekas suaminya, Nur Mohd. Iqwan Samsudin akhirnya bernoktah apabila mereka sah bercerai talak satu selepas lima bulan melalui prosiding mahkamah.
Menurut peguam Syarie yang mewakili Zehra, Abd Muiz Samsuri, Mohd. Iqwan melafazkan cerai terhadap anak guamnya dilakukan di hadapan hakim Wan Nuruldin Wan Hussain.
“Alhamdulillah hari ini pihak defendan iaitu Iqwan telah melafazkan cerai terhadap Zehra hari ini dengan talak satu.
“Jadi selesailah untuk sebarang perhubungan antara mereka sebagai suami isteri,” katanya kepada HibGlam selepas prosiding perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, di sini, hari ini.
Sementara itu, Zehra, 38, yang dilihat sebak berkata, kata sepakat telah dicapai dengan Mohd. Iqwan dan bersyukur segala beban yang ditanggung.
“Alhamdulillah selesai, pada 20 Ogos 2025 selesai semuanya selepas lima bulan saya turun naik mahkamah untuk failkan perceraian ini.
“Saya rasa sedikit beban sudah hilang selain banyak benda yang boleh direncanakan selepas ini untuk kehidupan saya dan anak.
“Saya perlukan masa untuk pulihkan diri dan berdamai dengan takdir ini. Insya-Allah saya akan memajukan diri, cari kembali semangat yang hilang dan memulakan kehidupan baru,” katanya.
Mohd. Iqwan juga turut lega apabila urusan perceraian akhirnya dapat diselesaikan selepas beberapa kali tertangguh sebelum ini.
“Alhamdulillah hari ini selesai dan kami bercerai cara talak raj’ie (masih boleh rujuk dalam tempoh iddah).Hari ini hanya lafaz cerai sahaja di hadapan hakim.
Saya takut juga kalau tiba-tiba dia datang bulan sekali lagi tapi syukur semuanya berjalan lancar,” ujarnya.
Pada 13 Ogos lalu, Mohd. Iqwan terpaksa menangguhkan niat melafazkan talak hari ini disebabkan isterinya itu dalam keadaan tidak suci.
Terdahulu, pada Mac lalu Zehra memfailkan cerai secara ‘fast track’ terhadap suaminya selepas mendakwa berkorban mempertahankan rumah tangga selama tiga tahun.
Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada 11 November 2021 dengan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan yang kini berusia dua tahun.
Sebelum itu, Zehra pernah berkahwin dengan Wan Muhammad Nurhariz Hariri pada 14 Oktober 2017, namun ikatan itu hanya bertahan selama enam bulan sebelum bercerai pada April 2018.
Mohd. Iqwan juga pernah mendirikan rumah tangga dengan wanita lain sebelum menikahi Zehra dan memiliki dua cahaya mata daripada perkahwinan terdahulu. – HIBGLAM