SELEPAS lima tahun berada dalam industri muzik, penyanyi rap Bunga Isme mampu menghembuskan nafas lega apabila album sulungnya, Seharum Nama dilancarkan baru-baru ini.
Menurut Bunga atau nama sebenarnya, Noor Ayu Fatini Mohd Bakhari, 25, Seharum Nama bukan sekadar profil muziknya tetapi bukti segala jerih-perihnya berbaloi.
Kata Bunga, dia hampir berputus asa apabila terpaksa membahagikan masa antara kerjaya nyanyian dan juga komitmen sebagai pelajar.
Ketika itu, Bunga sedang mengikuti pengajian Ijazah (Sarjana Muda) Pentadbiran Awam di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Seremban, Negeri Sembilan.
“Saya ‘burnout’ dan terlalu penat kerana tiada rehat. Bayangkan ketika awal bergelar penyanyi saya terpaksa berulang-alik setiap hari dari Damansara Damai, Petaling Jaya ke Seremban.
Saya perlu bangun seawal 5 pagi dan pulang sekitar 11 malam, selalu menaiki menaiki tren, ada kalanya memandu sendiri. Hujung minggu pula fokus dengan persembahan pentas.
“Rutin itu menjejaskan prestasi sehingga saya gagal dua subjek berturut-turut. Waktu itu, saya rasa memang tidak boleh melakukan dua kerja serentak dan hampir berhenti menyanyi,” ujarnya pada sidang media pelancaran Seharum Nama baru-baru ini.
Tambah Bunga, ketika itu dia memilih untuk berulang-alik kerana menjaga ibunya yang tinggal seorang diri. Meskipun sukar, pengorbanannya berbaloi dengan kejayaan yang dimiliki hari ini.
Tidak mudah untuk saya sampai ke tahap hari ini. Tanpa pengalaman lalu yang mengajar erti sabar dan tidak berputus asa, saya tidak akan menjadi Bunga hari ini,” tuturnya.
Berkongsi lanjut , Seharum Nama yang mengambil masa selama dua tahun untuk disiapkan dengan kerjasama Warner Music Malaysia memuatkan 10 lagu.
Single pertama berjudul Tak Tidur Malam, menggabungkan elemen tradisional dan moden disamping video muzik yang diolah seakan sebuah cerita mistik.
Lebih menarik, Bunga martabatkan bahasa Melayu dalam lirik dengan menyelitkan peribahasa jarang dipakai untuk mendekatkan generasi muda dengan warisan budaya.
Siapa lagi yang akan mengangkat bahasa kita jika bukan kita sendiri. Sebenarnya idea asal lagu ini adalah dangdut tetapi rasanya tidak sesuai dengan gaya saya.
“Selepas diolah beberapa kali, saya dan pasukan memutuskan untuk menyelitkan elemen tradisional yang mempunyai aura misteri,” katanya tentang lagu yang dicipta bersama suami, Amzar Razqa dan Amsyar Razqa.
Kongsi Bunga lagi, lagu Tak Tidur Malam diinspirasikan daripada watak Meriam dalam filem Pontianak Harum Sundal Malam, menggabungkan unsur tradisional dan ‘vibe’ seram.
Judul lagu pun Tak Tidur Malam, jadi memang tidak boleh lari dengan kisah seram tetapi lagu ini bukanlah kisah hantu. Apa yang pasti memang lagu ini berbeza dan unik,” kata Bunga.
Selain lagu Tak Tidur Malam, album Seharum Nama turut diserikan dengan lagu Buai, Jatuh, Dengarkanlah, Intan Payung (feat Noraniza Idris), Apadehal (2025 Mix), Jiwa Raga, ME[MAHA]MI, Nak Buat Cane?, dan Jalan Keluar.
Lebih menarik, sempena pelancaran album, selain mengeluarkan piring hitam, video muzik lagu ME[MAHA]MI, Tak Tidur Malam dan Dengarkanlah dibikin seperti sebuah filem pendek. – HIBGLAM