‘Kalau tak boleh jadi baik, diam sahaja’

SERING menjadi mangsa kecaman netizen, pelakon Scha Elinnea menyifatkan platform media sosial hari ini semakin membimbangkan apabila menjadi ruang untuk mengkritik individu lain sebagai bahan hiburan diri sendiri.

Menurut Scha atau nama lengkapnya, Nur Azleen Natasha Mohamed Mubeen, 26, lebih mengecewakan kritikan sebegitu dilemparkan tanpa mengetahui cerita sebenar.

“Internet kini sudah menjadi tempat di mana orang berasa berhak untuk menghakimi individu lain termasuk rupa paras, kisah silam dan pilihan hidup tanpa mengetahui kisah sebenar.

Berhentilah menjadikan penampilan atau kehidupan orang lain sebagai hiburan kalian,” katanya dalam satu hantaran Threads baru-baru ini.

Tambah Scha, dia meminta orang ramai berhenti menghancurkan kehidupan orang lain dalam dunia maya kerana bimbang kesihatan mental mangsa akan terjejas.

“Berhentilah menghancurkan orang lain hanya untuk membuat diri sendiri rasa lebih baik.

Kalian tidak tahu betapa beratnya kata-kata yang dilemparkan dan seberapa dalam boleh menjejaskan kesihatan mental seseorang.

“Jika kalian tidak mampu berbuat baik, diam sahaja. Diam itu mungkin dapat menyelamatkan nyawa,” katanya lagi.

Perkongsian tersebut mendapat respons positif netizen yang bersetuju dan berharap sikap suka menjatuhkan orang lain tidak terus berlaku.

Sebelum ini, Scha sering menerima kritikan ramai apabila didakwa sengaja mengubah penampilan dengan melakukan pembedahan kosmetik seperti memancungkan bahagian hidung dan menjadikan bibirnya lebih mungil.

Sebelum itu, sekitar 2022 dia mendedahkan pernah bergelut dengan masalah kesihatan mental dan didiagnosis skizofrenia yang memerlukannya bertemu pakar psikiatri secara berkala setiap bulan.

Dia juga pernah meluahkan enggan membaca setiap komen demi menjaga kesihatan mental. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok