‘Dapat peluang kembali berlakon, rasa seperti hidup semula’

SELEPAS lama menyepi daripada dunia lakonan, pelakon veteran, Dharma Harun mengakui teruja dan terharu apabila diberi peluang kembali semula ke set penggambaran.

Seolah-olah kembali bernadi, Dharma atau nama sebenarnya Mohamad Azman Harun Arashid, 69, menyifatkan perasaan tersebut seperti seorang atlet yang kembali beraksi selepas lama meninggalkan gelanggang.

“Katalah anda seorang pemain bola. Pemain bola itu macam Mokhtar Dahari lah, orang tahu anda hebat.

“Kemudian entah macam mana, anda dapat main bola balik. Rasa-rasa macam mana? Tentunya akan rasa seronok.

“Begitulah kegembiraan saya apabila diberi peluang kembali berlakon, rasa seperti bernadi semula,” katanya ketika ditemui di set penggambaran telefilem Ayah di Pusat Jagaan Harian Warga Tua, di sini, semalam.

Tambah pelakon filem Adik Manja Returns itu, langkahnya memasuki lokasi penggambaran menghadirkan nostalgia apabila teringat kembali zaman kegemilangannya lebih 40 tahun lalu.

Meskipun jarang muncul di layar, Dharma bagaimanapun menegaskan tidak pernah meninggalkan industri seni sepenuhnya kerana masih aktif sebagai penerbit sebelum ini.

“Melihat artis dan kru membuatkan saya teringat masa muda. Saya rasa hidup semula dan seronok dapat sertai mereka.

“Sebagai penerbit, dua ke tiga tahun lalu saya ada buat satu program menaik taraf surau secara percuma, semua itu membuat saya gembira. Sekarang walaupun saya tidak mengarah tetapi saya gembira berlakon balik,” dedahnya.

Paling penting kata Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-4 itu, peluang kembali berlakon kali ini hadir menerusi bantuan penerbit terkenal, Datuk A. Aida yang sanggup mengubah jalan cerita demi dirinya.

“Saya nak ucapkan berjuta-juta terima kasih pada Datuk A. Aida. Cerita ini asalnya pasal seorang ibu, tapi bila dia tahu keadaan saya, dia tukar watak itu jadi bapa.

“Saya amat terharu dan buat sehabis baik untuk watak tersebut.

“Pihak produksi sangat hormati saya, cuma dalam keadaan macam ini saya tak boleh cakap banyak, hanya dialog tertentu sahaja dan mereka pun benarkan saya berlakon sambil duduk,” luahnya.

Terdahulu, kesihatan Dharma menjadi perhatian apabila berat badannya menurun sehingga 45 kilogram akibat masalah kesihatan dan ketiadaan tawaran lakonan sejak sekian lama.

Dalam perkembangan lain, Dharma bakal muncul dalam telefilem berjudul Ayah arahan Zul Huzaimy yang turut dibintangi Aniq Suhair, Azeva Natassha, dan Ezzaty Abdullah.

Naskhah tersebut dijadualkan bersiaran pada 18 Oktober ini. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok