‘Beego buat lafaz taklik, dia yang langgar’

PELAKON Linda Hashim bakal memfailkan tuntutan pengesahan taklik selepas Beego gagal hadir ke sesi pembentangan laporan majlis jawatan kuasa pendamai (JKP) hari ini yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur.

Menurut peguam yang mewakili Linda, Nurul Fadzilah Kamaluddin, hakim mencadangkan anak guamnya membuka fail baharu berkaitan pengesahan taklik selepas terdapat laporan mengenai perkara itu.

“Pihak defendan (Beego) tidak dapat hadir dan kami kira proses ini agak lama kerana sudah melebihi empat bulan.

“Jadi kami meminta budi bicara pihak hakim untuk membaca laporan JKP tanpa kehadiran Beego dan Alhamdulillah hakim meneruskannya namun proses hari ini gagal. Kes ini ditangguhkan sehingga 22 Oktober depan.

Dalam laporan JKP itu telah ditulis oleh pegawai bahawa ada taklik yang telah dilanggar. Asalnya kita tak nak panjangkan cerita dan kita nak selesai cara baik di bawah Seksyen 47 tapi bila hakim mengesan ada isu yang baharu (taklik) , jadi hakim minta terus buka fail baharu.

“Taklik itu sebenarnya dah dilafazkan pada bulan 12 tahun lepas dan sebab itu kita nak buat pengesahan,” katanya.

Sementara Linda atau nama sebenarnya Norhazlinda Hashim, 41, berkata, dia mempunyai bukti video mengenai pelanggaran taklik yang berlaku.

Dia yang buat lafaz taklik, dia yang langgar. Sebenarnya saya tak suruh dia buat pun lafaz taklik tu. Tapi dia cakap dengan orang saya yang suruh dia buat.

“Bila dia buat lafaz taklik tu, tak sampai berapa hari dia dah langgar,” kongsinya.

Terdahulu, Linda memfailkan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, awal Januari lalu atas alasan sudah tiada persefahaman.

Untuk rekod, Linda dan Beego mendirikan rumah tangga pada Jun 2013. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Jelita Clarissa, 11, Anggun Cassandra, 10, dan Indah Camelia, 6. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok