Ubati rindu, Craig David bikin konsert di KL November ini

SELEPAS lebih sedekad tidak berkunjung ke Malaysia, penyanyi popular United Kingdom Craig David bakal mengubati kerinduan peminat menerusi konsert Craig David Presents TS5: Live in Kuala Lumpur pada 10 November ini.

Raja R&B dan UK Garage itu bakal beraksi di Mega Star Arena dengan membawakan seleksi popularnya, sekali gus mengembalikan nostalgia menerusi konsep unik TS5 iaitu gabungan persembahan vokal secara langsung dan set DJ.

Penganjurnya, T-Rex Studio memaklumkan konsep istimewa itu juga menjadikan David, 44, sebagai fenomena global sejak format paduan vokal dan DJ diperkenalkan kepada khalayak bermula 2012.

TS5 yang bermula sebagai siaran radio dari pangsapuri di Miami, Amerika Syarikat kini menjelajah ke pentas berprestij di seluruh dunia seperti Ibiza, Dubai, London dan Tokyo.

“Kini buat julung pertama, peminat di Malaysia juga berpeluang menyaksikan konsep sama secara langsung dan dinamik,” katanya.

Sudah pasti penonton dapat menjangkakan persembahan serta aksi penuh bertenaga penghibur yang memulakan langkah di arena muzik 25 tahun lalu.

Antara dendangan yang terus malar segar merentasi lebih dua dekad perjalanan kariernya termasuk Fill Me In, 7 Days, Walking Away, What’s Your Flava dan When The Bassline Drops.

Lebih istimewa, kehadiran David ke Malaysia juga bertepatan dengan pelancaran album studio kesembilannya bertajuk Commitment yang dilancarkan pada 8 Ogos lalu.

Terdahulu, penyanyi terbabit mencipta nama di arena antarabangsa menerusi kolaborasi bersama Artful Dodger dengan lagu Re-Rewind, sebelum mencatat kejayaan hasil populariti single solo pertamanya, Fill Me In.

Pencapaian diraih juga meloloskan penerbit juga rapper itu sebagai artis solo lelaki termuda menduduki tangga teratas dalam carta UK.

Album debutnya, Born To Do It yang diterbitkan pada 2000 diedarkan melebihi tujuh juta unit di seluruh dunia selain diiktiraf MTV serta The Guardian sebagai antara album terbaik sepanjang zaman.

Pencapaian lain yang diterima adalah tiga Ivor Novello Awards, dua MTV Europe Music Awards serta 14 pencalonan di BRIT Awards.

David turut dikurniakan gelaran MBE (Member of the Order of the British Empire) daripada Ratu Elizabeth II atas sumbangannya dalam bidang muzik dan kebajikan.

Tiket konsert Craig David Presents TS5: Live in Kuala Lumpur bermula harga RM288 hingga RM1,888
boleh ditempah menerusi laman myticketempire.com . – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok