MAHKAMAH Sesyen Putrajaya di sini, hari ini menetapkan 19 September depan sebagai tarikh sebutan kes penyanyi Naim Daniel di bawah pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun di sebuah hotel pada Mei lalu.
Menurut peguam yang mewakili Naim, Mohd. Irwan Sumadi dan Nur Syafiah Athirah Ahmad Shafique, pihaknya selaku defendan menyerahkan beberapa dokumen berkaitan kes tersebut kepada pihak mahkamah.
Penyerahan dokumen tersebut dilakukan di hadapan Hakim Datin M. Kunasundary dalam prosiding yang dilakukan secara tertutup.
“Pada hari ini telah ditetapkan untuk sebutan serahan dokumen di mana pihak pembelaan telah menerima dokumen daripada pihak pendakwaan.
Tarikh seterusnya ditetapkan pada 19 September depan untuk sebutan bagi pengurusan kes.
“Jadi pada tarikh pengurusan kes tu, kita akan lihatlah ada dokumen tambahan atau yang akan diserahkan oleh pihak pendakwaan jika ada,” katanya kepada HibGlam, hari ini.
Terdahulu, Naim Daniel atau nama sebenarnya Muhammad Na’im Daniel Baharin, 28, pada 17 Jun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan hakim dalam prosiding yang dilakukan secara tertutup.
Mengikut pertuduhan, penyanyi yang terkenal dengan lagu Purnama itu didakwa telah melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun di sebuah hotel bagi tujuan seksual.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit hotel di Petaling Jaya, Selangor pukul 8.56 malam pada 19 Mei lalu mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebat jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Izzah Shaharuddin manakala Naim Daniel diwakili peguam Mohd. Irwan Sumadi dan Amirul Ridzuan Hanif.
Mahkamah kemudian membenarkan Naim Daniel diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan.
Sebelum ini, selebriti itu ditahan pada 3 Jun lalu selepas disyaki melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun di sebuah hotel di Selangor.
Suspek bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangannya.
Bagaimanapun Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dalam kenyataanya berkata, arahan tuduh ke atas suspek telah diperolehi daripada Pejabat Pendakwaraya Selangor.
Beliau berkata, suspek akan dituduh di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792) kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa. – HIBGLAM