Keputusan lafaz taklik Along Cham 30 September depan

MAHKAMAH Rendah Syariah Sepang menetapkan keputusan pengesahan lafaz taklik pelawak Along Cham terhadap isterinya, Afreena Suhaimi ke tarikh baharu iaitu pada 30 September ini.

Peguam Syarie mewakili Along, Muhammad Akmal Amzan, berkata hujah balasan diajukan pihak defendan iaitu Afreena terlalu panjang sehingga hujah penggulungan perlu di bawa ke bulan depan.

“Keputusan akan disebut pada 30 September pukul 12.30 tengah hari. Pada tarikh akan datang kita ambil keterangan dan tutup (gulung hujah).

Sebab tadi keterangan defendan agak panjang dengan hujah cecah sekitar sejam setengah, jadi keputusan (pengesahan) di bawa ke prosiding seterusnya.

“Defendan juga tidak mengaku rujuk (dan ada taklik). Kita punya hujah nanti akan menjurus kepada pelanggaran itu,” katanya selepas selesai prosiding sekitar pukul 6.30petang tadi.

Sementara itu, peguam syarie mewakili Afreena, Mohamad Iezwan Ielias berkata, kes berkenaan sudah beberapa kali ditangguhkan sebelum ini, namun pihaknya tetap ingin kes tersebut segera diselesaikan.

Kes ini sudah tiga, empat kali ditangguhkan. Pada awalnya hanya fokus kepada keterangan plaintif (Muhammad Nizamuddin) sedangkan defendan selesai beri keterangan dalam masa sehari sahaja.

“Hari ini pihak kami pula tiada sebarang bantahan dan semua dokumen diterima mahkamah sebagai sumber utama termasuk perbualan dan rakaman suara.

“Berbeza dengan plaintif apabila dokumennya hanya diterima sebagai sekunder, kecuali satu iaitu tangkap layar (screenshot),” ujarnya.

Menurut Mohamad Iezwan, antara punca prosiding berlarutan sehingga pukul 6.30 petang adalah apabila wujud isu rujuk lisan yang didakwa pihak plaintif.

Pihak sana dakwa ada rujuk lisan, tetapi kami tidak setuju sebab tiada lafaz rujuk dibuat. Begitu juga dalam isu taklik, defendan menegaskan hanya satu perkara disebut iaitu tipu curang, bukan empat seperti yang didakwa plaintif.

“Atas sebab itu mahkamah perlukan penelitian lanjut kerana terdapat percanggahan fakta. Kami akan masukkan hujahan penggulungan secara teratur agar mahkamah boleh buat keputusan saksama selepas kedua-dua pihak angkat sumpah. Penting ada imbangan, bukan keputusan terburu-buru,” katanya.

Terdahulu Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamuddin Ahmad, 42, memfailkan pengesahan lafaz taklik Januari lalu selepas mendakwa isterinya melanggar tiga perkara termasuk tidak patuh arahan dan membelakangkan suami.

Along yang mendirikan rumah tangga dengan Afreena pada 4 April tahun lalu melafazkan cerai di rumahnya di Cyberjaya pada Julai 2024. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok