‘Isu royalti Allahyarham Johan, saya beri tempoh hingga September’

BIARPUN tempoh seminggu sudah berlalu, penyanyi Datuk Nora Ariffin masih memberi peluang kepada syarikat yang tidak membayar royalti lagu ciptaan arwah suaminya, Allahyarham Johan Nawawi menyelesaikan isu itu secara baik.

Nora atau nama lengkapnya Norafizah Ariffin, 52, berkata, pihaknya memahami hal berkaitan tuntutan berkenaan memerlukan masa untuk diperincikan, sekali gus sedia menunggu selewat-lewatnya sehingga bulan depan.

“Saya masih beri ruang dan peluang. Setakat ini kami belum terima maklum balas dan penjelasan yang dikehendaki apabila ada antara syarikat berkenaan terus berdiam diri. Jadi kita tunggu perkembangan lanjut biarpun tempoh seminggu sudah tamat.

Begitupun, ada beberapa wakil syarikat menghubungi pihak saya tetapi respons mereka tidak seperti yang diharapkan.

“Saya, mewakili pewaris iaitu anak-anak saya masih berikan mereka ruang. Kami pun faham, mungkin ambil masa. Kita tengok bulan depan macam mana,” katanya kepada HibGlam.

Pada awal bulan lalu Nora mendedahkan lebih enam syarikat penerbitan gagal menyalurkan bayaran royalti lagu-lagu ciptaan arwah suaminya,  walaupun sudah lebih empat tahun menunggu penjelasan.

Antara syarikat yang disenaraikan adalah Warner Chappell Music, Music Works, NSR Publishing, EMI Publishing, Sony Music Publishing dan Good Sound Publishing.

Menurutnya lagi, isu bayaran royalti yang sudah sekian lama cuba diselesaikan diharap dapat diakhiri secara baik tanpa melibatkan mahkamah.

Saya sebenarnya kalau boleh tidak mahu bawa isu royalti ini ke mahkamah, sebaliknya lebih kepada inginkan jalan penyelesaian yang baik.

“Tetapi kalau masih tiada sebarang maklum balas, berkemungkinan besar saya terpaksa pertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang,” ujarnya.

Penyanyi lagu Hanya Satu itu sekali lagi menegaskan tindakan membangkitkan isu bayaran royalti bukan untuk mencari perhatian tetapi mendapatkan semula hak waris Allahyarham.

Terdahulu, isu royalti karya Allahyarham Johan mula menjadi bualan selepas Nora mendakwa arwah suaminya hanya menerima bayaran awal sebanyak RM60 bagi lirik lagu ikonik Sinaran, nyanyian Datuk Sheila Majid, meskipun lagu berkenaan popular hingga hari ini. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok